KOTA KINABALU : Penduduk di beberapa daerah di Sabah hari ini dinasihatkan berwaspada berikutan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia dalam satu memaklumkan, kawasan Pedalaman meliputi Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan serta kawasan Pantai Barat termasuk Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu diramal terjejas sehingga sekurang-kurangnya jam 3 petang ini.
“Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan berintensiti lebih 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir adalah bersifat jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar berhati-hati ketika memandu dalam keadaan jalan licin, selain mengelakkan aktiviti luar seperti beriadah di kawasan terbuka atau menjalankan kerja-kerja di perairan bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Kawasan rendah dan berhampiran sungai turut berisiko mengalami banjir kilat sekiranya hujan berterusan, manakala tiupan angin kencang boleh menyebabkan kerosakan kecil seperti pokok tumbang atau bumbung tercabut.
MetMalaysia turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan perkembangan cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca, laman sesawang rasmi atau media sosial jabatan itu. – Chronivo