HomeUtamaPMMS desak Shafie mohon maaf isu ucapan ‘Murut Kafir'

PMMS desak Shafie mohon maaf isu ucapan ‘Murut Kafir’

Read Time:1 Minute, 3 Second

SIPITANG: Persatuan Masyarakat Murut Sipitang (PMMS) menzahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang didakwa menyebut perkataan ‘Murut Kafir’ ketika berucap dalam satu majlis di Melalap pada Ahad.

PMMS dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan istilah tersebut dianggap sebagai penghinaan yang menyinggung perasaan masyarakat Murut serta mencemarkan maruah dan identiti kaum itu.

“Istilah kafir tidak seharusnya digunakan terhadap sesuatu bangsa kerana ia berunsur penghinaan, berpotensi menimbulkan salah faham dan boleh menggugat keharmonian antara kaum serta agama di Sabah,” menurut kenyataan itu di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, PMMS menuntut agar Shafie membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Murut di negeri ini. 

Persatuan itu turut mengingatkan semua pemimpin politik supaya lebih berhati-hati ketika berucap, terutama dalam isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

PMMS menegaskan mereka akan terus memantau serta mengambil langkah sewajarnya demi mempertahankan maruah masyarakat Murut agar tidak dipandang rendah atau dihina oleh mana-mana pihak.

“Sabah terkenal dengan keharmonian dan toleransi antara kaum serta agama. Justeru, kami tidak mahu ada ucapan yang boleh menggores perasaan, merosakkan perpaduan dan membawa perpecahan dalam masyarakat majmuk negeri ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Persatuan itu sekali lagi mendesak agar Shafie tampil dengan permohonan maaf terbuka kepada masyarakat Murut di seluruh Sabah. 

RELATED ARTICLES
Utama

800 bungkusan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, petugas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular