KUALA LUMPUR,– Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM313 juta serta 13 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139 juta, berkaitan projek Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).
Abu Sahid, 80, yang hadir berkerusi roda kerana masalah kesihatan, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham… tidak mengaku salah,” katanya setiap kali pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, Abu Sahid dalam kapasiti sebagai ejen iaitu Pengarah Maju Holdings, didakwa menyalahgunakan wang milik syarikat berjumlah RM91.5 juta, RM171.5 juta, RM49.6 juta dan RM500,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku antara 4 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019.
Bagi kesalahan ini, beliau dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Bagi 10 pertuduhan pertama hingga ke-10, Abu Sahid didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM116.4 juta daripada akaunnya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan antara 4 Mei 2016 hingga 29 Okt 2019.
Manakala bagi tiga pertuduhan lain, beliau didakwa melupuskan wang haram berjumlah RM22.8 juta melalui 17 keping cek tunai antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Akram Ahmad Gharib memaklumkan pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan syarat jaminan.
Isteri Turut Didakwa
Dalam prosiding berasingan, isteri Abu Sahid, Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 48, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima RM67.1 juta dalam akaun banknya yang didakwa hasil aktiviti haram dipindahkan daripada akaun suaminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac dan 27 Nov 2017. Noor Azrina didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta 613.
Bekas Pengarah MEX II Didakwa Dokumen Palsu
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, bekas Pengarah MEX II Sdn Bhd, Yap Wee Leong, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut kira-kira RM314.5 juta daripada Maju Holdings antara Jun 2017 dan April 2018.
Beliau didakwa mengemukakan 13 tuntutan kemajuan palsu bagi kerja-kerja pembersihan tapak, tanah serta sistem saliran bagi projek lebuh raya berkenaan.
Yap merupakan individu ketiga didakwa berhubung kes ini selepas Abu Sahid dan isterinya.