Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Rizwandean M. Borhan, hari ini memaklumkan pihaknya telah melantik pakar tulisan tangan (handwriting) sendiri bagi meneliti beberapa dokumen berkaitan yang dibentangkan dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner.
Beliau berkata, saksi daripada Jabatan Kimia sebelum ini telah membuat pembentangan terhadap beberapa dokumen termasuk cebisan kertas tulisan-tulisan tangan, buku serta buku teks sekolah yang dikemukakan. Namun setakat ini, belum ada keputusan muktamad berhubung identiti penulis sebenar dokumen berkenaan.
“Perkara penting hari ini ialah tiada penentuan bahawa tulisan tangan itu ditulis oleh mana-mana pihak yang dikenali atau oleh arwah sendiri. Ia hanya contoh spesimen, tetapi siapa penulisnya belum dapat dipastikan,” katanya dalam sidang media di sini selepas prosiding inkues hari ini.
Menurut Rizwandean, pihak keluarga Zara telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar tulisan tangan yang dilantik dapat diberikan akses meneliti dokumen berkenaan.
“Kami mahu memastikan dan mengesahkan kebenaran. Justeru, adalah wajar mendapatkan pandangan pakar lain. Ini bukan soal meragui laporan pihak berkuasa, tetapi lebih kepada usaha mendapatkan pengesahan bebas,” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya kini sedang mengatur pertemuan dengan agensi berkaitan bagi menentukan masa dan lokasi pemeriksaan oleh pakar tulisan tangan terbabit yang berpengkalan di Kuala Lumpur.
“Semalam sahaja kami menerima dokumen asal untuk diperiksa. Dengan adanya akses kepada dokumen ini, barulah pakar kami boleh dipanggil untuk membuat pemeriksaan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata proses seterusnya akan mengambil kira kerjasama dengan Jabatan Kimia serta Pejabat Peguam Negara bagi memastikan prosedur pemeriksaan dijalankan dengan teliti dan adil.
Terdahulu, prosiding inkues Zara kini memasuki hari ketiga hari ini dengan Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh telah memberi keterangan sebagai saksi kedua.
Sebanyak 21 barang kes berupa helaian kertas dan buku bertulisan tangan telah dikemukakan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, dokumen tersebut belum dinyatakan sebagai diari Zara dalam prosiding mahkamah terbuka.