KUALA LUMPUR, – Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil langkah segera memperketat kawalan keselamatan di semua fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) yang beroperasi di sekitar Bintulu, Sarawak, berikutan maklumat ancaman keselamatan yang diterima.
MKN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu dilaksanakan serta-merta sebagai tindakan sementara bagi membolehkan pihak keselamatan dan agensi berkaitan menjalankan siasatan segera terhadap ancaman tersebut.
“Kerajaan Malaysia melalui MKN telah mengarahkan agar semua fasiliti LNG mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan keselamatan aset strategik negara sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara berkenaan, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
MKN menegaskan agensi keselamatan negara sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan telah mengambil langkah kawalan sewajarnya bagi memastikan keselamatan fasiliti strategik negara.