HomeUtamaJeti Pelancongan DBKK sedia pilihan baharu, dijangka beroperasi bulan ini

Jeti Pelancongan DBKK sedia pilihan baharu, dijangka beroperasi bulan ini

Read Time:2 Minute, 13 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Orang ramai kini mempunyai pilihan baharu untuk ke pulau-pulau sekitar bandar raya apabila Jeti Pelancongan DBKK dijangka mula beroperasi dalam bulan ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata pengambilalihan jeti itu dibuat selepas perkara tersebut diputuskan di peringkat Kabinet Negeri dan telah diserahkan secara rasmi oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) baru-baru ini.

“Dengan penyerahan ini, pengurusan penuh jeti akan dikendalikan oleh anak syarikat DBKK, iaitu DBKK Holdings Sdn. Bhd. DBKK memilih untuk menguruskan sendiri operasi jeti berkenaan walaupun terdapat banyak tawaran daripada syarikat swasta bagi memastikan kadar tambang bot pelancong dapat dikawal serta menjamin aspek keselamatan, kebersihan dan tatacara operasi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Operasi Jeti Pelancongan DBKK di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat sembilan pengusaha pelancongan menggunakan kemudahan jeti yang mampu menampung sehingga 2,000 pengunjung sehari. Simulasi operasi turut dilaksanakan beberapa kali bagi memastikan kelancaran perjalanan bot dan mengelakkan kesesakan.

Terdahulu dalam ucapannya, dengan kemudahan yang lebih tersusun, selesa dan selamat, jeti baharu itu diyakini dapat memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Antara tarikan utama yang bakal dihubungkan melalui jeti ini ialah gugusan pulau dalam Taman Tunku Abdul Rahman seperti Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Mamutik, Pulau Gaya dan Pulau Mengalum yang terkenal dengan pantai putih dan kepelbagaian marin.

“Pulau-pulau ini adalah khazanah pelancongan Sabah. Dengan adanya Jeti Pelancongan DBKK, kita memastikan setiap pengunjung mendapat pengalaman yang lebih baik, selamat dan berkualiti,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan operasi jeti ini tidak akan tercapai tanpa sokongan pengusaha bot pelancong yang sekian lama menjadi penghubung utama ke pulau-pulau. Justeru, DBKK akan memperkenalkan sistem operasi yang lebih efisien dan adil demi manfaat semua pihak, sambil menjemput lebih ramai pengusaha bot serta pemain industri untuk menggunakan jeti ini sebagai pangkalan operasi mereka.

Majlis pra pelancaran hari ini turut dihadiri wakil pengusaha bot pelancong, pemain industri pelancongan, serta pengarah dan pegawai DBKK.
Dalam majlis sama, turut diadakan Majlis Menandatangani Surat Pelantikan Syarikat Ejen Pemungut Hutang DBKK Holdings Sdn. Bhd. Pelantikan ini adalah satu langkah strategik dalam memperkukuhkan aspek tadbir urus korporat serta pengurusan kewangan syarikat.

Menurut Sabin, dengan adanya ejen pemungut hutang yang dilantik secara rasmi, proses kutipan tunggakan dapat dijalankan dengan lebih sistematik, telus dan berkesan. Pendekatan ini amat penting kerana pengurusan kewangan yang baik bukan sahaja menjamin kelangsungan syarikat, malah hasil kutipan tersebut dapat disalurkan semula untuk menyokong pelbagai projek pembangunan bandar raya, termasuklah penyelenggaraan dan penambahbaikan Jeti Pelancongan DBKK.

“Inilah yang saya sebut sebagai kitaran pembangunan yang mampan, hasil yang dipungut akan dipulangkan semula kepada rakyat, pengusaha dan para pelancong, demi manfaat bersama,” katanya

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular