PENAMPANG: Pertubuhan Skuad Anak Sabah yang didaftarkan secara rasmi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos lalu itu menyasarkan keahlian di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Norhaiza Abu Bakar berkata, pertubuhan itu ditubuhkan bagi memperkukuh suara rakyat negeri ini khususnya dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan masyarakat pelbagai kaum serta lapisan di Sabah.
Katanya, pertubuhan itu juga terbuka kepada anak jati Sabah berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira latar belakang etnik atau politik.
“Antara matlamat utama pertubuhan ini adalah menjalankan aktiviti kebajikan, amal dan bantuan derma kepada golongan memerlukan serta menyediakan jaringan kerjasama sosial dalam kalangan masyarakat.
” Skuad ini juga mahu memperkasa tenaga sukarelawan untuk membantu kebajikan rakyat, menyemarakkan semangat patriotisme anak jati Sabah dan mempromosikan kepelbagaian etnik masyarakat Sabah.
“Selain itu juga juga mahu menghimpunkan barisan anak jati Sabah bagi memperkukuhkan suara rakyat, menyampaikan amanat serta kepentingan sosial masyarakat kepada pentadbir negeri dan negara, di samping menjadi jambatan kerjasama antara generasi muda, belia, dewasa dan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Agung pertama Skuad Anak Sabah yang dihadiri kira-kira 400 ahli, di ITCC, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Naib Presiden I Skuad Anak Sabah, David Ng Chi Fong dan Naib Presiden II Skuad Anak Sabah, Marlina Madjid.
Norhaiza berkata, setakat ini pertubuhan itu disertai kira-kira 800 ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, peniaga dan golongan ibu.
“Kita menyasarkan 18,000 ahli dari seluruh Sabah didaftarkan sehingga pada hari pelancaran pada Oktober depan yang dijangka dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Kompleks Sukan Likas,” katanya.
Sementara itu, Norhaiza berkata, pertubuhan itu tidak mengambil kira latar belakang politik individu yang ingin menyertainya kerana ia terbuka kepada seluruh anak Sabah yang mahu terbabit dalam aktiviti amal dan kebajikan.
Katanya, ada empat teras utama yang menggerakkan pertubuhan itu, iaitu kebajikan setiap lapisan, patriotisme, perpaduan etnik dan pemerkasaan ahli.
“Teras kebajikan membabitkan semua lapisan masyarakat dalam program kemasyarakatan, manakala patriotisme bagi menyemai kecintaan terhadap negeri Sabah dan Malaysia melalui program berteraskan semangat patriotik.
“Perpaduan etnik pula bagi mengukuhkan penglibatan setiap etnik Sabah agar kepentingan dan isu mereka didengari serta diselesaikan.
“Bagi pemerkasaan ahli, ia akan menjadi perantara ahli berdaftar dengan kerajaan negeri dan persekutuan melalui inisiatif kebajikan, pendidikan, keusahawanan serta faedah asas,” katanya.