Oleh Wan Azrain Adnan
KUALA LUMPUR – Komuniti perniagaan negara kekal optimistik terhadap suasana dan prospek ekonomi, namun sentimen keyakinan terus mencatatkan trend menurun sepanjang tahun ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Ketiga 2025 yang diterbitkan awal bulan ini , melaporkan Petunjuk Keyakinan bagi suku berkenaan berada pada paras 0.1 peratus.
Walaupun kekal positif, indikator itu telah menunjukkan penurunan berterusan sejak Suku Keempat 2024, daripada 4.8 peratus kepada 0.1 peratus. Menurut DOSM, Petunjuk Keyakinan adalah ukuran jangka pendek yang merumuskan pandangan keseluruhan mengenai keadaan perniagaan dalam pelbagai sektor di Malaysia.
Prestasi Mengikut Sektor
Dua sektor ekonomi negara mencatatkan keyakinan positif. Sektor industri meningkat kepada 2.2 peratus berbanding 1.9 peratus pada Suku Kedua 2025, manakala sektor perkhidmatan kekal positif walaupun menurun kepada 1.5 peratus daripada 6.9 peratus.
Sebaliknya, sektor perdagangan borong dan runcit merekodkan petunjuk negatif lebih besar iaitu -7.3 peratus berbanding -6.7 peratus, manakala sektor pembinaan bertukar daripada positif 4.6 peratus kepada negatif -2.0 peratus.
Prestasi Mengikut Negeri
Dari segi negeri, Terengganu mencatatkan Petunjuk Keyakinan tertinggi dengan 17.1 peratus. Pulau Pinang pula merekodkan bacaan negatif tertinggi iaitu -14.3 peratus, diikuti Perak (-11.1 peratus).
Sabah menunjukkan lonjakan ketara apabila berubah daripada -0.3 peratus kepada 8.2 peratus, pencapaian tertinggi negeri itu dalam tempoh lebih setahun. Lonjakan tersebut merupakan yang terbesar di seluruh negara, mencerminkan pandangan perniagaan yang bertambah optimis.
Selari dengan penyusutan keyakinan, hanya 32.9 peratus perniagaan menjangka hasil kasar akan meningkat pada Suku Ketiga 2025, manakala 23 peratus menjangka penurunan dan 44.2 peratus menjangka tiada perubahan.
Dari segi pengambilan pekerja, hanya 14 peratus perniagaan merancang menambah tenaga kerja, 10 peratus merancang pengurangan, manakala majoriti 76 peratus menjangka mengekalkan jumlah pekerja sedia ada.
Perbandingan Serantau
Singapura turut merekodkan keyakinan perniagaan yang melemah susulan suasana ekonomi global tidak menentu. Menurut laporan Singapore Business Federation (SBF), Business Sentiment Index menurun daripada 56.5 peratus pada Suku Pertama kepada 55.4 peratus pada Suku Kedua.
Sehubungan itu, jumlah perniagaan yang bercadang menaikkan kadar gaji berkurang daripada 64 peratus kepada 59 peratus, manakala yang bercadang mengekalkan gaji meningkat daripada 35 peratus kepada 41 peratus.
Kewangan dan Pinjaman
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan sektor perbankan mencatatkan peningkatan pertumbuhan pinjaman pada Julai 2025. Pinjaman perniagaan meningkat daripada 4.5 peratus (Jun) kepada 4.9 peratus (Julai), manakala pinjaman isi rumah kekal kukuh pada 6 peratus.
Namun, beberapa bank menurunkan unjuran pertumbuhan pinjaman tahun ini. Maybank menyemak turun kepada 3 peratus daripada 5–6 peratus, manakala RHB Bank menurunkan unjuran daripada 6–7 peratus kepada 5–6 peratus. CIMB Bank mengekalkan sasaran pada 5–7 peratus.
Industri Runcit dan Pembuatan
Industri runcit negara merosot tiga peratus pada Suku Kedua 2025, lebih besar berbanding jangkaan awal kemerosotan satu peratus. Susulan itu, Retail Group Malaysia menurunkan unjuran pertumbuhan sektor runcit kepada 2.7 peratus bagi 2025.
Kemerosotan itu mencerminkan sentimen pengguna yang lemah berikutan peningkatan kos sara hidup. Pengguna lebih mengutamakan perbelanjaan asas berbanding barangan pilihan.
Kategori runcit yang terjejas termasuk personal care (-11.4 peratus), fesyen (-8 peratus) dan gedung beli-belah (-16.5 peratus). Sebaliknya, pasar mini, kedai serbaneka dan koperasi mencatatkan pertumbuhan 11 peratus.
Laporan itu menjelaskan perang tarif Amerika Syarikat telah menjejaskan rantaian bekalan dan meningkatkan harga barangan import, ditambah pula dengan penyelarasan tarif elektrik serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Dalam pada itu, Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) turut melaporkan pertumbuhan sektor pembuatan perlahan daripada 4.1 peratus (Suku Pertama) kepada 3.7 peratus (Suku Kedua). FMM mewakili lebih 13,100 syarikat dalam sektor berkenaan.
Prospek Ekonomi
FMM menjangka pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi separuh kedua 2025 menyederhana kepada 3.5–3.6 peratus berikutan cabaran kos perniagaan termasuk rasionalisasi subsidi, peluasan SST, kenaikan tarif elektrik dan kadar gaji.
Menurut FMM, meskipun Malaysia berjaya memperoleh kadar tarif lebih rendah daripada Amerika Syarikat, hala tuju dasar perdagangan negara itu masih samar dan terus menjejaskan suasana ekonomi domestik dan global.