Tuaran : Golongan belia khususnya di negeri ini perlu berfikiran idealistik serta bersedia menjadi pemimpin yang berwibawa demi menjayakan agenda pembangunan negeri.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, Sabah mempunyai keunikan tersendiri melalui kepelbagaian budaya, kekayaan sumber alam serta semangat perpaduan rakyat yang tinggi.
“Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah terus komited memperkukuhkan institusi belia, memperluas program pembangunan kapasiti, dan memastikan suara belia didengar serta diambil kira dalam proses penggubalan dasar negeri” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sidang pertama, penggal Ke-35 Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Shangri-La Rasa Ria Resort, di sini pada Sabtu.
Pada persidangan itu, seramai 110 golongan belia hadir dalam persidangan tersebut yang terdiri daripada wakil badan-badan gabungan Majlis Belia Sabah (MBS) dan pemimpin-pemimpin persatuan belia.
Dalam persidangan tersebut sebanyak 11 usul telah dibawa oleh wakil-wakil badan gabungan daripada Bahagian Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Beaufort, Sandakan, Pedalaman Atas dan Tawau.
Antara usul-usul yang dibawa ialah berkaitan dengan masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, kekurangan pusat latihan TVET, pemilikan rumah dalam kalangan belia yang rendah dan keperluan membuat penyelidikan ekonomi belia Sabah.
Turut diusulkan adalah usul khas untuk mengekalkan umur belia di Sabah iaitu 15 tahun hingga 40 tahun dari MBS Helmi Milus.
Sementara itu, Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan turut meminta supaya golongan muda tidak mudah terjerat dengan isu-isu negatif yang ditularkan oleh pihak tertentu dalam media-media sosial untuk kepentingan tertentu.
Katanya, golongan belia harus berfikir dengan bijak bagi mengelak emosi mereka dikawal oleh bahan-bahan berita janggal.
“Kita mahu belia yang mempunyai pemikiran yang kritis tetapi mestilah idea yang boleh membawa kepada kejayaan negeri dan negara,” katanya. – Chronivo