HomeUtamaMargin Rizab Rendah Jejas Pertumbuhan Industri, Sabah Perlu Diversifikasi Sumber Tenaga

Margin Rizab Rendah Jejas Pertumbuhan Industri, Sabah Perlu Diversifikasi Sumber Tenaga

Read Time:2 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU, — Sabah perlu segera menambah sumber tenaga boleh baharu (TBB) di samping mengukuhkan penggunaan gas asli, berikutan margin rizab kuasa negeri yang masih rendah dan boleh menjejaskan pertumbuhan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC), Datuk Harun Ismail berkata ketika ini 90 peratus penjanaan tenaga di Sabah bergantung kepada gas asli, manakala sumber lain seperti hidro, solar, geoterma dan ocean thermal masih berada di peringkat kajian atau pembangunan awal.

“Sumber tenaga hidro di Sabah terhad dan hanya boleh menyumbang sekitar 1,000 hingga 1,500 megawatt berikutan keadaan sungainya yang kecil.  Ini berbeza dengan Sarawak yang mempunyai sungai besar dan ketinggian sesuai.

“Projek Ulu Padas di Ulu Tomani sebagai contoh hanya berkapasiti 187.5 megawatt. Walaupun ada beberapa lagi syarikat diberi mandat, jumlah keseluruhan potensi hidro di Sabah ini tetap terhad,” katanya.

Oleh itu, campuran bahan api diperlukan bagi memberi keseimbangan antara sumber dan keperluan tenaga. Sumber tenaga solar bersifat intermittent dan ia hanya sesuai sebagai sokongan namun tetapi tidak boleh dijadikan ‘baseload’.

Potensi Tenaga Baharu Masih Terhad

Sumber seperti geoterma di Sabah terdapat di Tawau tetapi berkapasiti kecil, dengan dianggarkan 100 hingga 150 megawatt dan ia masih diperingkat eksplorasi. Selain itu, kajian juga menunjukkan Sabah mempunyai potensi besar tenaga ocean thermal yang boleh membekalkan sekitar 20,000 megawatt. Walau bagaimanapun teknologi ini masih baharu, kosnya tinggi dan belum ada loji komersial berskala besar di dunia” katanya kepada Chronivo di sini.

Manakala bagi Bagi tenaga angin, kajian awal menunjukkan potensi wujud di kawasan utara Sabah seperti Kudat, namun jumlahnya juga terhad dan masih pada fasa kajian oleh Sabah Energy Corporation.

Margin Rizab di Bawah Paras Selesa, Struktur Penggunaan Tidak Seimbang

Menurut Harun, margin rizab kuasa Sabah berada pada paras tidak selesa, iaitu sekitar 10 peratus berbanding tahap ideal 25 hingga 30 peratus.

“Apabila berlaku permintaan tenaga yang tinggi dan margin rizab pula rendah, ia memaksa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melaksanakan power rationing. Ini menyebabkan gangguan bekalan berlaku lebih kerap.

“Kapasiti penjanaan kita sekitar 1,200 megawatt, tetapi margin tetap kecil kerana permintaan juga meningkat,” katanya.

Beliau seterusnya berkata struktur penggunaan tenaga di Sabah juga tidak ideal kerana peratusan pengguna bagi setiap sektor iaitu domestik, komersial dan industri adalah hampir sama, iaitu sekitar 30 peratus

“Ini berbeza jika kita perhatikan situasi di Sarawak dan Semenanjung, sektor industri lebih dominan. Di Sabah, industri kurang berkembang kerana bekalan tenaga tidak mencukupi dan campuran pengguna tidak mantap,” katanya.

Tambahnya, penggunaan gas asli yang terlalu tinggi untuk penjanaan kuasa domestik turut mengurangkan bekalan untuk kegunaan industri.

“Apabila 90 peratus gas digunakan untuk jana kuasa, baki untuk operasi industri sangat kecil. Ini menjejaskan peluang membangunkan industri yang menggunakan tenaga intensif.

“Setakat ini, projek pelaburan berimpak tinggi yang diumumkan masih ada cukup gas, tetapi kalau ada projek baharu lagi, mungkin terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Beliau menegaskan untuk masa depan tenaga di Sabah, sesuatu tindkan yang lebih drastik perlu diambil. Sumber tenaga di Sabah perlu diversifikasi dengan tumpuan kepada teknologi baharu yang kini masih pada peringkat kajian.

“Sabah ada potensi besar ocean thermal sehingga 20,000 megawatt. Kalau teknologi ini matang satu hari nanti, kita boleh beralih ke situ kerana hidro dan angin terhad. Namun perjalanannya masih panjang sebelum benar-benar matang untuk digunakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular