KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC Jean-Paul de Marigny mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperbaiki pasukan selepas hanya seri tiga perlawanan setakat ini.
Namun beliau tetap yakin prestasi Sang Badak akan bertambah baik apabila penambahbaikan yang sewajarnya dilaksanakan.
Katanya, pasukan kendaliannya juga mampu mencipta lebih banyak gol dan melakar kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini.
Menurutnya, aksi pertama menentang Kuala Lumpur City cukup baik bagi pasukannya walaupun hanya bermain 10 orang, namun agak mengecewakan apabila gagal memenangi dua perlawanan di gelanggang sendiri selepas itu.
“Masih banyak penambahbaikan yang perlu dibuat dan saya fikir setelah kita melaksanakan itu, kita mampu menjaring lebih banyak gol dan memenangi perlawanan,” katanya ditemui pada pelancaran jersi baharu Sabah FC, di sini pada Khamis.
Jersi baharu bertemakan ‘The Rise of the Rhinos’ itu adalah hasil kerjasama Sabah FC dengan jenama sukan terkemuka, Adidas.
Pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya.
De Marigny berkata pembaikan yang ditumpukan pasukan adalah untuk menambah keyakinan menjaringkan gol.
“Kita perlu lebih yakin dan mencipta banyak peluang, selain bertindak dengan berani apabila peluang itu tiba dalam setiap perlawanan.
“Kita mempunyai barisan pertahanan yang bagus, justeru kita juga mahu barisan hadapan pasukan yang seperti itu. Kita perlu tambah baik dan cipta banyak peluang,” katanya. – Chronivo