CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS), dalam satu operasi bersepadu iaitu Op Pancing, baru-baru ini.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, berdasarkan aduan awam dan risikan, seorang individu ditahan semasa mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan yang diletak berhampiran sebuah pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.
Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.
Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut.
Susulan tangkapan itu, pihak MCMC dengan bantuan PDRM telah menyerbu sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning Shah Alam yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.
Siasatan awal turut berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket, di mana kelengkapan komunikasi Fake BTS tersebut telah diubah suai untuk beroperasi secara mudah alih.
Secara keseluruhannya, 45 barangan telah disita dengan anggaran nilai RM100,000.00. Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak satu juta ringgit (RM1,000,000) atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes ini juga disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.