Sook: Seramai 462 penduduk di daerah ini menerima geran tanah masing-masing dalam satu majlis yang diadakan di sini.
Majlis Penyerahan Geran Tanah DUN Sook disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Angin di Dewan Masyarakat Sook.
Daripada jumlah itu, 224 orang menerima geran tanah kategori pengukuran PANTAS, manakala 238 orang lagi menerima geran pengukuran biasa.
Tidak ketinggalan, seramai 86 orang peneroka Skim SAFODA Karamatoi akhirnya mendapat hak milik yang sekian lama dinantikan melalui penerimaan Lot Pengukuran Skim Karamatoi.
Ellron dalam ucapannya berkata, penyerahan ini adalah hasil penantian panjang rakyat. Ia bukan sekadar dokumen, tetapi jaminan masa depan, hak yang sah, dan warisan berharga untuk anak cucu.
“Ini bukan yang pertama dan bukan yang terakhir. Usaha kita masih berterusan untuk menyelesaikan kawasan lain di Sook termasuk Skim Fasa 1, Fasa 2 serta beberapa kampung lagi yang sedang menunggu giliran,” katanya.
Sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah, beliau turut menekankan komitmen untuk memastikan setiap keluarga di Sook mendapat kepastian hak tanah mereka, kerana inilah kunci kepada kesejahteraan dan pembangunan rakyat.
Katanya, penyerahan geran tanah itu juga menjadi bukti bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus melaksanakan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat.