Sandakan: Pembinaan Pusat Islam Sandakan di Kampung Sungai Kayu di sini telah mencapai kemajuan 75 peratus dan dijangka siap pada Disember ini.
Menurut Projek Arkitek Pusat Islam Sandakan, Mir Zafriz Mior Zawari dalam taklimatnya berkata, pembinaan projek tersebut bermatlamat untuk meningkatkan syiar Islam di Sabah sekali gus menjadikan kompleks berkenaan sebagai mercu tanda baharu bandar Sandakan.

Taklimat itu dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yeen dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong.
Projek pembinaan Pusat Islam Sandakan telah bermula sejak tahun 2017 dengan kos RM60 juta di tapak seluas 5.2 hektar di Jalan Sungai Kayu, Sandakan namun tertangguh akibat beberapa perkara termasuk pandemik Covid-19 dan pergolakan politik di Sabah.

Apabila siap kelak, bangunan yang dilengkapi pelbagai kemudahan turut menempatkan tadika, pusat tahfiz, pusat pentadbiran JHEAINS, MUIS dan Baitulmal, dewan serbaguna serta dewan solat yang boleh memuatkan sehingga lebih 1,000 jemaah.-