Sandakan: Bekas Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Hashim Paijan dan bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pentadbiran) Datuk Diyanah Abdullah masing-masing diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kategori lelaki dan wanita sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah 1447H/2025M.
Anugerah tokoh Maulidur Rasul telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan di sini pada Jumaat.
Sambutan itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani.
Hashim merupakan seorang tokoh pentadbiran yang berpengalaman luas di negeri Sabah yang bersara wajib pada 1 November 2019.
Beliau telah memperolehi pendidikan tertinggi iaitu Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dari Universiti Malaya pada tahun 1982.
Semasa era pentadbiran beliau dalam agensi kerajaan, Hashim lebih sinonim dengan motto ‘fast forward’ yakni pantas ke hadapan, menunjukkan komitmen beliau untuk memastikan perkhidmatan awam yang lebih cepat dan sentiasa berfikiran ke hadapan.
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Ahli Lembaga di beberapa buah agensi seperti Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Ahli Lembaga Penasihat Yayasan Ekonomi Islam Malaysia dan Ex-Officio Sabah Oil and Gas Development Corporation.
Sementara itu, Diyanah yang kini diberi mandat sebagai Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah sentiasa mendapat sokongan padu dan tidak berbelah bahagi dari suami serta tida anakya yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.
Beliau memulakan perkhidmatan di sektor awam di Pejabat Pendidikan Kota Kinabalu pada Tahun 1986.
Diyanah selanjutnya melebarkan sayapnya dengan menyandang jawatan di Pejabat Perjawatan Negeri, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Dan Pegawai Daerah Kota Belud.
Hashim dan Diyanah masing-masing membawa hadiah wang tunai RM20,000; piala iringan dan sijil. – Chronivo