Oleh Florieta Diet
KOTA BELUD: Jika dahulu setiap kali hujan lebat disertai ribut petir, sesi pembelajaran warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun sering terganggu akibat tempias hujan, kini dengan adanya bangunan baharu, mereka akhirnya menikmati suasana belajar yang lebih selesa dan selamat.
Tahun ini juga, sambutan Hari Kemerdekaan sekolah berkenaan diraikan penuh istimewa dengan kenduri kesyukuran setelah berpindah ke bangunan baharu yang siap sebulan lebih awal daripada jadual asal.
Guru Besar SK Nanamun, Hamdan Hajad berkata, pengalaman lalu banyak meninggalkan kenangan apabila guru dan murid berdepan kesukaran belajar dalam keadaan bangunan lama yang sering terjejas cuaca buruk.
“Jika dahulu apabila musim cuaca tidak menentu sudah pasti kami akan turut terkena tempias cuaca buruk itu, lebih-lebih lagi ketika musim hujan ribut petir, kebimbangan akan kebajikan guru dan murid sekolah ini pasti timbul dalam hati saya.
“Namun dengan siapnya bangunan baru ini pada 8 Ogos lepas, saya dapat melihat suasa, pembelajaran telah mencapai peningkatan yang sangat kondusif dengan kemudahan yang terdiri daripada sepuluh blok bangunan seperti blok pengurusan pentadbiran, blok akademik, blok pusat sumber, blok kantin, blok kesihatan, blok bengkel, dewan terbuka dan surau.
“Justeru sebagai tanda penuh kesyukuran sekolah bersama bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah telah menganjurkan program ‘Kenduri sekampung’ dan penutupan Sambutan kemerdekaan peringkat sekolah.
Turut dijemput mantan kakitangan sekolah ini sebagai tanda penghargaan dan perkongsian penuh kesyukuran dengan suasana bangunan baharu yang tidak sempat mereka kecapi atas dasar berpindah tempat bertugas ataupun bersara,” katanya pada Majlis Kenduri Sekampung dan Hari Kemerdekaan peringkat SK Nanamun pada malam Rabu lalu.
Hadir merasmikan majlis tersebut, Timbalan Pegawai Pendidikan Kota Belud, Mokilau Rudin yang turut menzahirkan rasa kagum dengan kerjasama serta sokongan padu diantara komuniti setempat dan PIBG sekolah.
Jelas Hamdan lagi, tiga nilai utama dalam ekosistem pendidikan iaitu kepimpinan yang berwawasan, kualiti pendidikan yang tinggi serta serta sokongan padu komuniti menerusi PIBG merupakan tonggak utama dalam menjayakan misi kemenjadian murid.