HomeUtamaMahkamah Koroner dengar kemungkinan lompat atau hayunkan diri 

Mahkamah Koroner dengar kemungkinan lompat atau hayunkan diri 

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh J. Evachel John

Kota Kinabalu: Inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mendengar kemungkinan Zara melompat atau menghayunkan diri dari tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan itu pada awal pagi 16 Julai lalu.

Menurut pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu, berdasarkan ketinggian penghadang konkrit dan palang besi serta ketinggian si mati, tidak mungkin mangsa jatuh secara tidak sengaja.

Dr Jessie mendedahkan perkara itu semasa sesi pemeriksaan saksi oleh pegawai pengendali Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad, pagi tadi di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.

Badiuszaman meminta Dr Jessie menjelaskan kenyataan saksinya yang dibacakan kelmarin di hadapan koroner berhubung dapatan pemeriksaan di lokasi asrama. 

Dalam kenyataan saksinya itu, Dr Jessie berkata penghadang konkrit di tingkat tiga berukuran 118 sentimeter (cm) manakala ketinggian si mati 154cm, dengan perbezaan 36cm. Oleh kerana penghadang itu lebih tinggi daripada pusat graviti tubuh mangsa, beliau berpendapat adalah tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri di tepi koridor.

Pegawai pengendali: Rujuk pada perenggan 32 dalam kenyataan saksi anda. Boleh jelaskan?

Dr Jessie: Seperti yang saya terangkan tadi, berdasarkan ketinggian penghadang konkrit dan palang besi serta ketinggian si mati, tidak mungkin dia jatuh secara tidak sengaja. Penghadang konkrit itu terlalu tinggi. Hanya dengan berdiri di tepi penghadang, dia tidak boleh jatuh. Belakang saya menyentuh penghadang itu, saya juga tidak boleh terjatuh secara tidak sengaja.

Pegawai Pengendali: Bagaimana jika ditolak? Boleh jelaskan?

Dr Jessie: Jika saya ditolak dari belakang, saya hanya akan terdorong mengenai penghadang tersebut, bukan jatuh ke bawah.

Pegawai Pengendali: Jadi, apakah kemungkinan yang terbaik.

Dr Jessie: Seperti yang saya telah terangkan dan tunjukkan tadi (demonstrasi), untuk mendarat pada posisi dan kedudukan  si mangsa, perlu berdiri di atas pelantar penghadang konkrit dan sama ada melompat atau menghayunkan diri dari ‘suspended railing’ (palang besi tergantung).

Pegawai Pengendali: Boleh saya katakan tiada bukti serangan, tetapi punca kematian adalah jatuh dari tempat tinggi?

Dr Jessie: Berdasarkan pemeriksaan di lokasi dan bedah siasat, ya.

Pegawai Pengendali: Doktor boleh sahkan, si mati sama ada melompat atau menghayunkan diri?

Dr Jessie: Berdasarkan maklumat yang saya terima berhubung posisi dan lokasi si mati ketika ditemui pada 16 Julai 2025, dia mesti sama ada melompat atau menghayunkan diri.

Terdahulu, Dr Jessie menunjukkan gambar semasa pemeriksaan lokasi pada 2 Ogos lalu dan menerangkan bagaimana ketinggian penghadang berbanding dengan tubuh Zara menunjukkan bahawa Zara  tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak.

Sepanjang soalan pemeriksaan saksi, Dr Jessie membuat gerakan tangan bagi memudahkan semua pihak yang terlibat dalam inkues faham dengan penjelasannya.

Dr Jessie turut membuat demonstrasi bagaimana arwah Zara Qairina mungkin jatuh dengan kaki terlebih dahulu mencecah tanah sebelum badannya rebah dalam keadaan terbaring dan wajah menghadap ke atas. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular