Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Para ibu bapa disarankan agar sentiasa memantau pergaulan dan tingkah laku anak-anak supaya tidak terlibat dalam gejala negatif khususnya kes buli yang kini semakin banyak dilaporkan di seluruh negara.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pendidikan dan pengawasan daripada ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak mendapat asas bimbingan yang baik sejak dari rumah.

“Baru-baru ini banyak kita dengar berita berkaitan kes buli di seluruh negara.
“Saya berharap para ibu bapa sentiasa memberi didikan yang baik dan mengingatkan anak-anak supaya jangan terlibat dalam gejala tidak sihat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan ke-31 Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya 2025 di Stadium Likas di sini pada Khamis.
Arif berkata, ruang kasih sayang dan suasana pembelajaran yang sihat perlu diberi kepada anak-anak agar mereka lebih menitikberatkan keselamatan diri serta mementingkan pendidikan.
Mengenai kejohanan sukan itu, beliau berkata, penganjuran kejohanan sukan itu adalah bagi membina semangat kesukanan dikalangan anak-anak khususnya sekolah berkenaan.

Katanya, ia bukan sekadar satu kejohanan bagi mengukur kemampuan anak-anak bertanding, tetapi dapat membina keyakinan diri serta suntikan kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid.
“Elemen ini sangat penting bagi mengiktiraf kebolehmampuan berfikir dalam menjana kemenjadian murid yang cemerlang,” katanya. – Chronivo