Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan bantuan tunai RM100 MyKasih yang dikreditkan ke MyKad rakyat Malaysia sebagai peluang bagi mereka yang berkemampuan untuk menambah amal jariah dengan membantu golongan lebih memerlukan.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, inisiatif Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu boleh dimanfaatkan bukan sahaja oleh penerima, tetapi juga oleh mereka yang berkemampuan dengan berkongsi rezeki.
“Apa yang saya lakukan hari ini ialah membeli barangan menggunakan MyKad sendiri, kemudian menyerahkannya kepada mereka yang lebih memerlukan. Inilah cara kita menambah amal jariah melalui inisiatif kerajaan ini,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan pembelian MyKasih di Pasaraya Bataras, Kolombong, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin serta wakil parti yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar menggerakkan langkah sama di kawasan masing-masing.
“Di peringkat parti, kita juga mencadangkan supaya golongan B40 yang merupakan ahli parti diberikan keutamaan. Usaha ini bukan sekadar simbolik, tetapi kita mahu memastikan lebih ramai penerima manfaat,” katanya.
Menurutnya, majlis di Kolombong itu merupakan gimik pelancaran peringkat negeri, selepas terdapat beberapa sumbangan awal dilakukan pihak tertentu sejak 31 Ogos lalu, namun secara tidak terancang.
“Kita harap selepas ini lebih ramai lagi akan terlibat. Jika golongan M40 dan T20 turut sama menyumbang, kita dapat membantu lebih ramai rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Bantuan MyKasih itu dikreditkan secara automatik ke dalam MyKad dan boleh digunakan di pasar raya terpilih mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.
Sementara itu, penerima sumbangan, Wong Kon Foh, 71, menzahirkan rasa syukur menerima bantuan daripada Mustapha.
Wong yang menyewa sebuah bilik kecil di pekan Inanam bersama isterinya dan dua anak perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU), hanya bergantung hidup dengan mengutip tin aluminium di sekitar kawasan berkenaan.
Dengan pendapatan yang tidak menentu, mereka juga terpaksa membayar sewa bilik berjumlah RM330 sebulan, sekali gus menambah beban perbelanjaan keluarga ini. – Chronivo