HomeUtamaKematian Zara mungkin bukan akibat terjatuh atau ditolak

Kematian Zara mungkin bukan akibat terjatuh atau ditolak

Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner mendengar bahawa kematian Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja mahupun ditolak dari kedudukan berdiri di lokasi kejadian.

Pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth (QEH), Dr Jessie Hiu, mendedahkan perkara itu ketika memberi keterangan sebagai deponen (saksi) pertama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan yang bersidang sebagai koroner dalam inkues kematian Zara, hari ini.

Menurutnya, pada 2 Ogos lalu, beliau telah diminta memberikan pendapat profesional berhubung kecederaan antemortem yang dialami Zara.

“Berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian di asrama si mati, ukuran daripada lantai hingga ke palang besi mendatar paling atas pada penghadang konkrit di tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm).

“Saya dimaklumkan bahawa ketinggian antemortem si mati ialah 154cm. Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi tersebut ialah 36cm. Ketinggian palang besi itu melebihi tiga perempat daripada ketinggian si mati dan berkemungkinan berada di atas pusat graviti tubuhnya. (Bagi wanita, pusat graviti biasanya di bahagian pelvis, sedikit di bawah pusat ketika berdiri).

“Berdasarkan ukuran ini, pada pendapat saya, adalah tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri di sebelah penghadang konkrit sepanjang koridor tersebut,” katanya ketika membaca kenyataan bertulisnya petang tadi.

Dr Jessie berkata, berdasarkan ketinggian serta kelebaran penghadang konkrit, ketinggian palang besi mendatar, dan ketinggian antemortem si mati, adalah mungkin untuk Zara memanjat penghadang konkrit, melintasi palang besi, dan berdiri di atas penghadang tersebut.

“Saya telah menyediakan laporan mengenai penemuan pemeriksaan lokasi bersama laporan bedah siasat,” katanya sambil menambah bahawa beliau telah meneliti rekod perubatan Zara termasuk laporan X-ray, CT (tomografi berkomputer) dan CTA scan (tomografi angiogram berkomputer), serta menjalankan pemeriksaan lokasi kejadian pada 2 Ogos lalu.

Zara, seorang pelajar sekolah agama di Papar, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Kematian Zara mencetuskan gelombang solidariti ramai pihak yang menuntut siasatan menyeluruh demi keadilan.

Menjawab soalan Pegawai Pengendali, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad, sama ada kecederaan Zara konsisten dengan penderaan fizikal, Dr Jessie Hiu berkata: “Tidak. Kecederaan ini konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.”

Dr Jessie berkhidmat sebagai pakar patologi forensik di HQE di sini sejak 1998. Secara purata, pakar itu mengendalikan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setahun.

Dr Jessie juga pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar secara purata 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.

Prosiding bersambung esok.

RELATED ARTICLES
Utama

Surau, Masjid berpotensi sebagai destinasi dakwah dan pelancongan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular