Oleh J. Evachel John
Kota Kinabalu: Inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dijadualkan bermula hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai koroner.
Lebih kurang 70 saksi, termasuk seorang saksi utama iaitu pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara, dijangka memberi keterangan sepanjang prosiding inkues.
Tarikh pendengaran inkues telah ditetapkan iaitu pada 3 – 4 September, 8 – 12 September, 17 – 19 September, dan 22 – 30 September.
Bagaimanapun, susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam, koroner baharu dijangka terlebih dahulu akan mendengar permohonan baharu daripada semua pihak yang mahu menjadi pihak berkepentingan dan peguam pemerhati dalam prosiding inkues.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan koroner terdahulu berhubung semua permohonan yang difailkan oleh para peguam dalam inkues.
Hakim Datuk Duncan Sikodol bagaimanapun memutuskan bahawa pihak-pihak terbabit bebas untuk memfailkan semula permohonan mereka di hadapan koroner baharu.
Peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili keluarga Zara.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada kanak-kanak tertuduh yang dikaitkan dengan kes buli Zara, manakala Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili empat lagi kanak-kanak tertuduh.
Setakat jam 7.30 pagi pagi perkarangan Mahkamah Tinggi masih kelihatan tenang tanpa sebarang perhimpunan orang awam.
Zara, seorang pelajar sekolah agama di Papar, yang ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Kematian tersebut mencetuskan gelombang solidariti orang ramai, termasuk pemimpin negeri, aktivis serta pertubuhan bukan kerajaan, yang menuntut siasatan menyeluruh demi keadilan. – Chronivo