Kota Kinabalu : Sabah bakal menjadi tuan rumah kepada Persidangan Antarabangsa IEEE TENCON 2025, sebuah acara bertaraf dunia yang akan menghimpunkan pakar teknologi, saintis, usahawan, dan pelajar dari seluruh dunia.
Acara berprestij ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 Oktober depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini dan dijangka menarik lebih 500 delegasi antarabangsa serta ratusan peserta tempatan.
Dengan tema ‘Unleashing Innovation: Elevating Technologies to New Horizons’, TENCON 2025 dijangka menjadi platform penting bagi pertukaran idea, kolaborasi antara industri dan akademik
Selain itu, penganjuran program itu juga akan memberi pendedahan kepada inovasi terkini dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik, teknologi maklumat, dan sains komputer.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew turut menyambut baik penganjuran TENCON 2025 di negeri ini.
“Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan alam seperti Gunung Kinabalu, taman-taman marin, dan lokasi selam skuba bertaraf dunia, tetapi juga mempunyai potensi besar dalam ekopelancongan dan pelancongan komuniti (CoBT).
“Inilah masanya untuk kita tunjukkan kepada dunia bahawa Sabah bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga mampu menjadi pusat ilmu, inovasi, dan teknologi global,” katanya.
TENCON 2025 dianjurkan oleh IEEE Malaysia Section dengan kerjasama IEEE Sabah Sub-Section, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Sabah Convention Bureau (SCB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan SICC.
IEEE (Institute of Electrical and Electronics Engineers) merupakan organisasi profesional teknikal terbesar di dunia, dengan lebih 486,000 ahli dari 190 negara.
TENCON 2025 bukan sekadar persidangan, ia adalah peluang untuk meletakkan Sabah di peta dunia sebagai destinasi teknologi dan inovasi, di samping menonjolkan kekayaan budaya dan keunikan komuniti tempatan.