Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan tiga lelaki dipercayai penghantar barang (runner) sindiket dadah dan merampas syabu seberat 41.63 kilogram bernilai lebih RM1.3 juta dalam dua operasi berasingan di Ranau dan Telupid pada Ogos lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dalam serbuan pertama di stesen minyak Petronas Kg. Kilimu, Jalan Ranau Poring pada jam 8.15 pagi, seorang lelaki tempatan ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama sebuah beg berisi 20 bungkus plastik teh berwarna jingga yang mengandungi syabu seberat 21.3 kilogram bernilai RM681,600.
Suspek berusia 31 tahun, tidak bekerja dan berasal dari Miri, Sarawak.
“Dalam tangkapan susulan sejam kemudian, pasukan polis mengekori sebuah kereta Bezza biru hingga ke perkarangan sebuah masjid di Telupid, sebelum menemui satu lagi beg berisi 20 bungkus plastik teh mengandungi syabu seberat 20.33 kilogram bernilai RM650,560.
“Dua suspek lelaki berusia 24 dan 26 tahun ditahan dalam operasi itu. Kedua-duanya tidak bekerja, masing-masing berasal dari Lahad Datu dan Tawau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 5 September untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Menurut Jauteh, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek berperanan sebagai runner bagi seorang pembekal dadah untuk menghantar bekalan dari Kota Kinabalu ke Tawau dan Semporna dengan bayaran RM1,000 bagi setiap kilogram.
Mereka mengaku terlibat sejak Februari lalu dan ini adalah kali ketiga mereka menghantar bekalan. Rampasan kali ini mampu menampung kira-kira 160,000 penagih untuk sekali penggunaan.
“Dadah berkenaan dipercayai diseludup ke Sabah dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan penghantaran udara,” katanya.
Jauteh berkata, ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah jenis syabu.
Semakan rekod pula menunjukkan dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Polis turut menyita sebuah Toyota Vios, sebuah Honda City dan sebuah motosikal Yamaha Ego dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM62,000.
Dalam operasi berasingan pada 14 Ogos, polis turut menahan seorang lelaki tempatan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Tangkapan ini membawa kepada sitaan harta bernilai RM2.17 juta termasuk wang tunai, 16 kenderaan, barangan kemas, jam tangan mewah serta sebuah mesin kira wang.
Subjek terbabit dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah serta pernah dikenakan tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam antara 2016 hingga 2018.
Tambah Jauteh, setakat tahun ini, seramai 33 pengedar dadah ditahan di Sabah di bawah Akta Dadah Berbahaya LLPK.
“Polis Sabah akan terus agresif dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” tegasnya.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222.