Oleh J. Evachel John
Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membatalkan keputusan Koroner yang antara lain membenarkan peguam kepada pesalah kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Ini termasuklah permohonan yang dibuat oleh pasukan guaman keluarga Zara serta Sabah Law Society (SLS).
Bagaimanapun, mahkamah menyatakan pihak-pihak terlibat bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan Koroner baharu.
“Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan dengan mana-mana permohonan dalam inkues tersebut adalah diketepikan. Pihak yang terlibat bebas memperbaharui permohonan mereka di hadapan Koroner baharu,” kata hakim Datuk Duncan Sikodol selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat hari ini.
Keputusan tersebut dibuat susulan semakan kehakiman yang difailkan oleh pasukan guaman keluarga Zara serta SLS terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 28 Ogos yang antara lainnya membenarkan pasukan guaman pesalah kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan dalam imkues tersebut.
Duncan berkata, dalam kes ini, Koroner terdahulu membuat perintah membenarkan peguam remaja terbabit sebagai pihak berkepentingan dan menyertai prosiding inkues. Namun tidak lama kemudian, beliau menarik diri kerana terdapat kepentingan peribadi.
“Setelah beliau sendiri berpendapat tidak boleh meneruskan kes, adalah tidak wajar untuk membuat keputusan berhubung isu substantif yang seharusnya diserahkan kepada pertimbangan Koroner baharu. Jika tidak, ia seolah-olah memutuskan bagi pihak Koroner yang akan datang, sekali gus menjejaskan prinsip ketidakberpihakan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah tidak membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terhadap permohonan SLS.
Menurut Duncan, walaupun SLS hanya hadir sebagai peguam pemerhati dengan peranan terhad kepada pemerhatian prosiding, Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil dan meneliti rekod mana-mana prosiding di mahkamah rendah bagi memastikan ketepatan, kesahan dan kewajaran sesuatu keputusan atau perintah, termasuk kesahihan prosiding.
Katanya, bidang kuasa penyeliaan itu boleh digunakan oleh mahkamah atas inisiatif sendiri, justeru sesiapa sahaja boleh membawa isu untuk perhatian mahkamah.
“Memandangkan isu ini menyentuh kepentingan awam serta peranan SLS sebagai penjaga kepentingan tersebut, saya berpendapat soal locus standi tidak seharusnya menghalang mereka daripada mengemukakan isu ini. Oleh itu, bantahan awal TPR tidak dibenarkan,” katanya.
Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang ketika itu bertindak sebagai Koroner, memutuskan inkues akan diteruskan seperti dijadualkan tetapi akan didengar di hadapan Koroner baharu, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan.
LINK BERITA TERDAHULU:
Dalam keputusan sama, Koroner membenarkan permohonan pasukan guaman keluarga Zara agar ibu arwah, Noraidah Lamat, dideklarasikan sebagai orang yang berkepentingan di dalam prosiding inkues berkenaan kematian Zara.
Dalam permohonan tersebut pasukan guaman memohon agar anak guam mereka, melalui pasukan guaman, dibenarkan terlibat dalam prosiding inkues tersebut untuk memeriksa dan menyoal balas para deponen (saksi-saksi), melihat dokumen-dokumen dan mencadangkan dan membawa saksi-saksi dan dokumen-dokumen tambahan untuk membantu koroner.
Permohonan itu turut meliputi agar Noraidah, melalui peguamnya, diberikan salinan dokumen-dokumen relevan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum permulaan prosiding inkues.
Koroner turut membenarkan peguam permohonan peguam yang mewakili lima remaja bawah umur yang berdepan pertuduhan berkait Zara di Mahkamah Kanak-Kanak, untuk diterima sebagai ‘Pihak Berkepentingan’ dalam inkues, serta diberi akses kepada dokumen berkaitan inkues.
Pada 20 Ogos, lima remaja itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara.
LINK BERITA TERDAHULU:
Inkues ini diadakan susulan kematian Zara, seorang pelajar sekolah agama di Papar, yang ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Kematian tersebut mencetuskan gelombang solidariti orang ramai, termasuk pemimpin negeri, aktivis serta pertubuhan bukan kerajaan, yang menuntut siasatan menyeluruh demi keadilan.
Tarikh pendengaran inkues telah ditetapkan iaitu pada 3 – 4 September, 8 – 12 September, 17 – 19 September, dan 22 – 30 September.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama TPR Mohd Fairus Johari dan Dacia Jane Romanus mewakili pihak pendakwaan.
Pasukan SLS diketuai Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin bersama Jamadi Saleh, Dominic Ghani dan Nabila Norsahar.
Manakala pasukan guaman keluarga Zara terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada remaja terbabit dalam kes buli Zara, manakala Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili empat lagi remaja. – Chronivo