HomeUtamaKAC lonjak pelancongan dan pendapatan komuniti setempat, penyertaan mula dibuka

KAC lonjak pelancongan dan pendapatan komuniti setempat, penyertaan mula dibuka

Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Kiulu Adventure Challenge (KAC) bukan sekadar acara sukan lasak, sebaliknya platform penting dalam membangunkan pelancongan luar bandar dan menjana pendapatan kepada komuniti setempat di Kiulu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, berkata edisi keenam KAC yang akan berlangsung pada 7 Disember depan menyasarkan penyertaan seramai 700 peserta berbanding 500 peserta tahun lalu.

Beliau berkata, penganjuran tahun ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran atlet tempatan dan antarabangsa, sekali gus mengangkat Kiulu sebagai destinasi utama pelancongan pengembaraan, kebudayaan dan sukan di Sabah.

“KAC adalah antara acara pelbagai disiplin utama di Sabah, malah antara satu-satunya di Malaysia yang menggabungkan berbasikal lasak, larian denai dan berakit air. White water rafting merupakan tarikan utama Kiulu, maka kita masukkan elemen ini sebagai keunikan acara ini,” katanya pada sidang media, di pejabat Lembaga Pelancoangan Sabah di sini hari ini.

Joniston berkata, KAC bukan sahaja sebuah acara sukan, malah memainkan peranan penting dalam mempromosikan keindahan semula jadi Kiulu, melibatkan komuniti setempat serta membuka lebih banyak peluang pemerkasaan luar bandar dan pembangunan pelancongan.

“Acara berprestij itu menampilkan cabaran berbasikal lasak sejauh 30 kilometer, larian denai 11 kilometer dan berakit air sejauh tiga kilometer. Bagi kategori individu, peserta akan mengharungi 30 kilometer berbasikal lasak dan 11 kilometer larian denai, manakala kategori larian santai sejauh enam kilometer.

“ Kategori berpasukan pula melibatkan tiga peserta dengan gabungan cabaran 30 kilometer berbasikal lasak, 11 kilometer larian denai serta tiga kilometer berakit air, sama ada dalam kategori lelaki atau campuran,” katanya.

Bagi menjadikan penganjuran lebih inklusif, pelbagai aktiviti sampingan turut diperkenalkan antaranya pertandingan lastik, lukisan mural beramai-ramai bersama pelajar sekolah dan artis tempatan, pameran serta jualan kraf tangan, pertandingan kreatif “Dalai” mempamerkan kraf manik Job’s Tears, permainan tradisional, tarik tali dan pertandingan Double Dart Terbuka.

Joniston berkata, aktiviti-aktiviti ini mampu menjadikan KAC bukan sekadar acara sukan, tetapi sebagai perayaan komuniti, budaya dan kesukanan yang memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan serta mempromosikan pelancongan mampan.

“Tahun lalu, pendapatan daripada sewaan penginapan mencecah lebih RM70,000, manakala makanan dan minuman melebihi RM50,000 – menjadikan keseluruhan lebih RM100,000. Dengan jumlah peserta yang lebih ramai tahun ini, limpahan ekonomi kepada masyarakat Kiulu dijangka lebih besar,” jelasnya.

Beliau menambah, penganjuran KAC juga selari dengan persiapan Sabah menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan fokus kepada tiga aspek utama iaitu Culture (Budaya), Adventure (Pengembaraan) dan Nature (Alam Semula Jadi) di bawah tagline “Explore Sabah”.

“Kiulu sudah lama dikenali sebagai contoh pelancongan luar bandar (community-based tourism). Malah, terdapat kerjasama antarabangsa dengan Nanhua Taiwan University dalam agro-pelancongan serta lawatan United Nations Development Programme (UNDP) bagi melihat sendiri usaha pelancongan komuniti di sini,” katanya.

Joniston berkata, pihaknya berharap dengan penganjuran tahunan KAC, nama Kiulu akan lebih dikenali di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi inspirasi kepada daerah lain untuk mempromosikan pelancongan luar bandar.

Pendaftaran awal (early bird) dibuka sehingga 17 September, manakala tarikh tutup pendaftaran pada 3 November 2025. Sejak pendaftaran dibuka minggu lalu, sebanyak 110 penyertaan awal telah diterima.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular