Kota Kinabalu : Pejabat Mufti negeri Sabah menegaskan bahawa mufti dan timbalannya tidak terlibat semasa proses penggalian semula jenazah Zara Qairina Mahathir seperti yang tular di media sosial Khamis lalu.
Penafian itu adalah susulan dakwaan tular dalam sebuah video berdurasi 46 saat bertajuk ‘Penggali Kubur’ yang mendakwa mufti dan timbalan mufti ‘terhidu haruman’ ketika proses penggalian semula jenazah adalah tidak benar, tidak berasas dan berunsur fitnah.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti Negeri Sabah.
“Pihak yang terlibat diminta menarik balik penyataan tersebut serta memohon maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang dilaksanakan,” menurut kenyataan itu di sini pada Ahad.
Oleh yang demikian, Pejabat Mufti Negeri Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
“Turut dijelaskan bahawa tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan di dalam video tersebut,” tambah kenyataan itu di sini.
Pejabat Mufti Negeri Sabah berharap agar kenyataan ini dapat menjelaskan kedudukan sebenar dan menghentikan sebarang salah faham berkaitan isu berkenaan. – Chronivo