Kota Kinabalu : Tarikh bersejarah Hari Sabah 31 Ogos menjadi bukti kepada semangat rakyat negeri ini untuk meraih kebebasan daripada penjajah dan membina negeri yang berdaulat.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, yema Hari Sabah tahun ini, ‘Untukmu Sabah Tanah Airku’ membawa maksud mendalam bahawa masa depan negeri ini terletak di tangan rakyat Sabah.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu memastikan Sabah terus maju, makmur serta rakyat hidup bersatu padu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Sabah 2025 di Padang Merdeka, di sini pada Ahad.
Majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, sambutan Hari Sabah bukan sekadar platform mengenang sejarah lalu, malah ruang untuk menghargai pencapaian yang telah dicapai sambil merancang masa depan yang lebih cemerlang.
“Generasi muda khususnya perlu memahami erti kemerdekaan, menghargai pengorbanan pendahulu dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris negeri ini,” katanya.
Hajiji menyeru rakyat Sabah supaya terus mempertahankan keharmonian dan keamanan yang dinikmati sejak sekian lama, sambil bersama-sama membina Sabah yang lebih makmur dan inklusif.
“Saya mengajak rakyat Sabah untuk terus bersatu dalam menempuh segala cabaran membina Sabah Maju Jaya dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Keharmonian dan keamanan yang kita kecapi perlu terus dipelihara demi generasi akan datang,” katanya. – Chronivo