Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai kepimpinan negeri menghadiri Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran dan Solat Hajat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Tahun 2025 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir.Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd.Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong.
Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat sebelum diteruskan dengan azan, Solat Jumaat dan Solat Hajat bagi memohon keberkatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah.
Program tahunan itu diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta sebagai simbolik kesyukuran rakyat Sabah atas nikmat keamanan, kemajuan dan keharmonian yang terus dikecapi sejak pembentukan Malaysia. – Chronivo