Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Kontinjen mewakili Sabah sedia untuk mempertahankan gelaran Johan keseluruhan pada temasya Sukan Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 yang akan berlangsung di negeri Johor bermula minggu depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Sabah akan menghantar lebih 200 atlet dan delegasi dalam usaha mengekalkan kejuaraan yang dicapai pada edisi 2023 yang dianjurkan di negeri ini.

“Tahun lalu kita menjadi Johan. Tahun ini insya-Allah kita akan cuba mempertahankan kejuaraan itu.
“Saya menyeru kontinjen Sabah agar menjaga nama baik negeri, mengekalkan prestasi cemerlang serta menjadikan kejohanan ini wadah mempererat ukhuwah antara agensi agama seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan amanat dan penyerahan bendera Sabah kepada kontinjen IJPAM Sabah di sini pada Jumaat.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Ugama Islam (MUIS) Datuk Seri Yahya Hussin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, kejohanan itu bukan sahaja pentas persaingan sukan, malah turut menjadi wahana persahabatan dan perkongsian ilmu melalui konvensyen pegawai serta kakitangan agama yang diadakan serentak.

“Sabah sebelum ini sudah menyerlah dalam beberapa kejohanan termasuk peringkat sekolah.
“Saya yakin dalam kejohanan ini juga, kita akan terus cemerlang dalam bidang yang disasarkan,” katanya.
Sabah mula menyertai kejohanan sukan jabatan agama sejak 2012 dan berjaya mengekalkan rekod cemerlang termasuk muncul Juara Keseluruhan pada 2014 serta 2023.
Dalam edisi 2022 di Selangor, Sabah bergelar Naib Johan Keseluruhan dengan dua emas menerusi acara bolatampar lelaki dan bola sepak.
Dengan persiapan rapi dan latihan intensif sejak awal tahun, Sabah mensasarkan kejuaraan sekali lagi di Johor 2025 sebelum edisi seterusnya berlangsung di Sarawak pada 2027. – Chronivo