KOTA KINABALU: Pesta Seni “Tradition in Tune” 2025 dengan tema “Echoes of the Past, Voices of Tomorrow” bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dari 29 hingga 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
Acara anjuran Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia ini mengetengahkan kepelbagaian warisan budaya sambil menghubungkannya dengan inovasi moden, sekali gus memperlihatkan seni sebagai medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan generasi.
Majlis pelancaran rasmi pada 30 Ogos akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, yang turut mencerminkan kepentingan diplomasi budaya dan inovasi dalam memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab kreativiti, kebudayaan dan pelancongan.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai acara menarik menanti pengunjung termasuk persembahan tarian dan muzik tradisional, pameran budaya serta bengkel kraf tangan.
Turut diadakan pertandingan pereka kostum kebangsaan yang memberi peluang kepada pemenang untuk mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa bersama lebih 80 negara lain.
Bagi memberi kelainan, pengunjung juga berpeluang menikmati pengalaman belon udara panas pada 30 dan 31 Ogos yang menawarkan panorama Sabah dari udara. Tempat adalah terhad dan tempahan awal digalakkan melalui WhatsApp di talian 011-3311 1944.
Dengan gabungan tradisi, inovasi dan semangat kebersamaan, Pesta Seni “Tradition in Tune” 2025 dijangka menjadi antara acara kebudayaan terbesar di Sabah serta menjadi wadah inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus menghargai warisan sambil berani berinovasi.