HomeUtamaPenunggang motosikal maut dalam kemalangan di Penampang

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Penampang

Read Time:1 Minute, 7 Second

PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal lelaki maut selepas tercampak ke dalam longkang pembinaan apabila motosikalnya bergesel dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Pintas, berhampiran Bulatan Datuk Peter Mojuntin dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah malam ketika pacuan empat roda dari arah Plaza 333 menuju ke Kota Kinabalu memasuki bulatan berkenaan sebelum bergesel dengan motosikal mangsa yang datang dari arah sama.

“Akibat pergeselan itu, motosikal mangsa terbabas sejauh kira-kira 30 meter sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang pembinaan di bahu jalan. Mangsa, lelaki tempatan berusia 32 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.

Sammy berkata, pemandu serta penumpang pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular