Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 peringkat negeri yang akan berlangsung Ahad ini dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung di Dataran Bandaraya di sini.
Timbalan Pengerusi 2 Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 Peringkat Negeri Sabah Datuk Tan Lee Fatt berkata, raptai penuh yang dijalankan pagi tadi berlangsung lancar dan menepati jadual.

Katanya, hampir semua kontinjen telah menyertai latihan, kecuali beberapa yang dijangka digugurkan.
“Persiapan kini mencapai tahap 95 peratus. Kami sudah bersedia sepenuhnya dan hanya menunggu hari kemuncak.

“Semua aset ketenteraan dan agensi keselamatan turut berada pada tahap kesiapsiagaan penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 peringkat negeri di sini pada Jumaat.

Lee Fatt berkata, lebih 120 kontinjen akan menyertai perarakan, manakala antara acara tumpuan termasuk persembahan kawat senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pertunjukan aset Angkatan Tentera Malaysia, selain persembahan nyanyian serta kenderaan khas.

Pihaknya turut berharap keadaan cuaca pada Ahad ini baik agar sambutan berjalan lancar tanpa penangguhan, seperti yang berlaku tahun lalu akibat hujan.
“Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi acara yang menjadi simbol perpaduan dan semangat patriotisme rakyat Sabah,” katanya.
Sambutan itu dijadual akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor- Chronivo / FOTO JAPEN SABAH