Tambunan: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri sejak ditubuhkan pada tahun 1966 selain memastikan hasil negeri dapat dinikmati bersama oleh semua rakyat Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, KYS bukan sekadar sebuah institusi tetapi ia adalah legasi perjuangan yang diasaskan oleh pemimpin ulung negeri ini, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun pada tahun 1966.
“Tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-60 Kumpulan Yayasan Sabah, dan ini merupakan pencapaian luar biasa bagi sebuah organisasi yang ditubuhkan demi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, YSBR 2025 di sini membuktikan bahawa kerajaan negeri kekal komited turun padang bertemu rakyat di semua peringkat, dari bandar hingga ke pelosok desa, untuk memahami dan menangani keperluan sebenar rakyat.
Katanya, menerusi bantuan pendidikan Yayasan Sabah, ramai anak-anak Sabah berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan dan menjadi profesional serta pemimpin.
Menurutnya lagi, institusi pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) telah menjadi platform utama dalam melahirkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga melalui KYS telah memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya golongan B40.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa tiada seorang pun anak Sabah akan tercicir dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi hanya kerana kekangan kewangan. Sejak diperkenalkan pada 2022, sebanyak RM17.8 juta telah dibelanjakan bagi TPNS, memberi manfaat kepada 10,912 pelajar,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata KYS turut diiktiraf sebagai peneraju dalam pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, sehingga 2025, seluas 199,146 hektar atau 94.5 peratus daripada jumlah kawasan pemuliharaan Kumpulan Yayasan Sabah seluas 210,725.6 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).
“Kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum, Banjaran Maliau, Imbak Canyon, Sungai Taliwas dan Pantai Silam, yang diiktiraf sebagai rujukan saintifik bertaraf dunia, menjadi contoh komitmen Kumpulan Yayasan Sabah dalam memelihara alam sekitar semula jadi Sabah.
“Usaha pemuliharaan ini bukan sahaja tentang melindungi alam, tetapi juga mengukuhkan identiti Sabah sebagai sebuah negeri yang menghormati warisan semula jadinya untuk generasi akan datang,” katanya.
Hajiji berkata, YSBR 2025 merupakan kesinambungan usaha membawa agensi, peluang dan perkhidmatan terus kepada rakyat agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar telah menyampaikan antaranya tajaan pendidikan Yayasan Sabah dan bantuan TPNS kepada pelajar serta warta Tapak Kampung. – Chronivo