HomeUtamaPeruntukan Sabah naik RM6.7 Bilion, Pan Borneo jadi keutamaan – PM Anwar

Peruntukan Sabah naik RM6.7 Bilion, Pan Borneo jadi keutamaan – PM Anwar

Read Time:2 Minute, 8 Second

Kuala Lumpur : Peningkatan peruntukan pembangunan untuk Sabah daripada RM5.2 bilion pada tahun 2022 kepada RM6.7 bilion pada tahun ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk merapatkan jurang pembangunan negeri di negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agihan tersebut mencerminkan prinsip keadilan dan keterangkuman yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan MADANI, selain memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan infrastruktur setara dengan negeri lain.

“Keutamaan diberikan kepada projek yang memberi impak tinggi terhadap kesejahteraan rakyat, pemerkasaan ekonomi tempatan, dan penciptaan peluang pekerjaan, khususnya di kawasan desa serta wilayah yang masih kurang membangun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini.

Anwar berkata, sehingga Disember 2024, empat daripada 35 pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah berjaya disiapkan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga meneruskan pelaksanaan penuh projek mega itu dengan kos keseluruhan berjumlah RM15.90 bilion, yang disediakan di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan persekutuan, selain sokongan daripada sumber pembiayaan lain.

“Lebuhraya Pan Borneo Sabah bukan sahaja simbol pembangunan infrastruktur, malah pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan akses yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan turut meluluskan projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) dengan kos hampir RM10 bilion, yang dijangka menghubungkan lebih banyak kawasan pedalaman Sabah ke jaringan jalan raya utama, sekali gus meningkatkan mobiliti dan peluang ekonomi penduduk luar bandar.

Perdana Menteri menegaskan bahawa Sabah sentiasa menjadi antara keutamaan dalam agenda pembangunan nasional, seiring dengan hasrat untuk membawa kemudahan moden, peluang pekerjaan serta pembangunan sosial yang lebih seimbang di seluruh negeri.

“Komitmen ini bukan sekadar angka dalam belanjawan, tetapi sebuah pelan tindakan untuk memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab pertanyaan soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), Perdana Menteri berkata, Kerajaan memberi jaminan kemajuan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan lebih cepat selepas diakui sudah melalui beberapa kelewatan dalam pelaksanaannya ketika ini.

Katanya, kerajaan sudah mengambil tindakan lebih tegas dan berani, dengan menamatkan kontrak syarikat yang sebelum ini gagal menyiapkan fasa kerja ditetapkan, termasuk kepada syarikat yang sudah diberi penyambungan kontrak sebanyak dua atau tiga kali.

“Ada yang disambung kontrak, ada dua kali, ada yang tiga kali. Saya sudah tamatkan supaya kita boleh kontrak semula dan insya-Allah berjaya untuk melihat dan menyaksikan perkembangan projek Pan Borneo lebih cepat. Saya yakin dengan cara tender lebih telus ini, projek ini boleh berjalan lebih baik.

“Saya terima teguran (kelewatan di Sabah). Tidak ada sebab projek sama, boleh siap 98 peratus di Sarawak dan kegagalannya banyak di Sabah. Sebab itu pendekatan harus lebih tegas berani dan telus,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular