HomeUtamaPasukan guaman tertuduh diberi kebenaran jadi pihak berkepentingan dalam inkues Zara

Pasukan guaman tertuduh diberi kebenaran jadi pihak berkepentingan dalam inkues Zara

Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pasukan guaman yang mewakili pihak tertuduh dalam kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir diberi kebenaran oleh Mahkamah Negeri Sabah hari ini untuk menjadi pihak berkepentingan sepanjang prosiding inkues yang akan berlangsung bulan hadapan.

Permohonan kebenaran tersebut dijalankan di hadapan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bersidang sebagai Koroner.

Ketua pasukan guaman, Datuk Ram Singh berkata keputusan itu penting bagi memastikan proses mencari kebenaran dapat dilaksanakan dengan telus, termasuk memberi ruang kepada pihaknya untuk menyoal saksi yang dipanggil oleh mahkamah.

“Kami menghormati keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan ini. Dengan kebenaran sebagai pihak berkepentingan, kami boleh mengemukakan soalan kepada saksi bagi membantu mahkamah mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku pada hari kejadian,” katanya dalam sidang media selepas prosiding, hari ini.

Beliau turut menegaskan pihaknya tidak berniat menangguhkan inkues, sebaliknya hanya mahu memastikan setiap prosedur undang-undang dipatuhi.

“Tujuan inkues ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi untuk mencari kebenaran. Undang-undang jelas menyatakan bahawa kepentingan kanak-kanak perlu dilindungi, dan itulah yang menjadi fokus kami,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Joan Goh berkata pasukan guaman juga sedang menunggu senarai penuh saksi yang akan dipanggil bagi memberi keterangan.

“Kami mahu tahu siapa saksi yang akan dipanggil supaya proses soal balas dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh. Ini adalah sebahagian daripada hak kami sebagai pihak berkepentingan,” katanya.

Tarikh perbicaraan inkues Zara akan berlangsung bulan hadapan bermula 3 September.

Allahyarhamah Zara, 13, merupakan pelajar asrama di sebuah sekolah agama di Papar dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Jun lalu selepas dipercayai terlibat dalam satu insiden yang kini mendapat perhatian umum.

Inkues ini dijalankan bagi menentukan punca kematiannya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular