Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang disandang Datuk Peter Anthony akan diisytiharkan kosong pada 3 September ini sekiranya beliau tidak memfailkan petisyen pengampunan dalam tempoh ditetapkan.
Perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya di DUN Sabah di sini pada Khamis.
Katanya, Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos lalu menolak permohonan Peter untuk mengkaji semula keputusan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen dan dengan itu, sabitan serta hukuman penjara dan denda terhadap beliau kekal berkuat kuasa.
“Selaras dengan Perkara 17(1)(i) Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan.
“Walau bagaimanapun, peruntukan ini dibaca bersama Perkara 17(3)(e) yang memberikan tempoh 14 hari kepada ADUN berkenaan untuk memfailkan rayuan atau petisyen pengampunan,” katanya.
Kadzim berkata, Peter mempunyai tempoh masa sehingga 2 September untuk mengemukakan petisyen pengampunan sekiranya berhasrat berbuat demikian.
Katanta, jika gagal, kerusi Melalap secara automatik akan menjadi kosong pada 3 September.
“Sekiranya petisyen difailkan, kita perlu menunggu sehingga keputusan mengenai pengampunan itu ditetapkan.
“Namun, jika tidak ada sebarang tindakan, kerusi berkenaan dikosongkan secara automatik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa urusan lanjut, termasuk tarikh pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan, adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – Chronivo