Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Suasana di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pagi tadi turut tertumpu kepada kehadiran ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat.
Noraidah yang berbaju kurung dan memakai pelitup muka tiba di mahkamah sekitar jam 8.50 pagi diiringi oleh pasukan guaman dan seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Noraidah duduk di kerusi paling hadapan di galeri awam, dan raut wajahnya kelihatan tenang sepanjang prosiding pendengaran permohonan pasukan guaman untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian anaknya di hadapan Koroner Azreena Aziz.
Selepas prosiding selesai, beliau berdiri di tepi menunggu giliran keluar dari bilik mahkamah sambil menundukkan kepala dengan sopan sebagai reaksi terhadap sapaan beberapa pengamal media.
Dalam sidang media, Shahlan Jufri yang mewakili pasukan guaman keluarga Zara berkata anak guam mereka bersemangat untuk meneruskan prosiding inkues.
“Ibu Zara kelihatan bersemangat. Alhamdulillah, ini yang telah dinantikan sejak awal lagi.
“Apabila permohonan penangguhan tidak dibenarkan, saya percaya Ibu Zara berasa gembira untuk meneruskan prosiding inkues ini,” katanya sambil menambah bahawa anak guam mereka menyerahkan sepenuhnya sebarang kenyataan kepada pasukan guaman.
Shahlan hadir bersama Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh and Farrah Nasser.
Terdahulu Mahkamah Koroner membenarkan permohonan pasukan guaman keluarga Zara agar ibu arwah, Noraidah Lamat, dideklarasikan sebagai orang yang berkepentingan di dalam prosiding inkues berkenaan kematian Zara.
Dalam permohonan tersebut pasukan guaman memohon agar anak guam mereka, melalui pasukan guaman, dibenarkan terlibat dalam prosiding inkues tersebut untuk memeriksa dan menyoal balas para deponen (saksi-saksi), melihat dokumen-dokumen dan mencadangkan dan membawa saksi-saksi dan dokumen-dokumen tambahan untuk membantu koroner.
Permohonan itu turut meliputi agar Noraidah, melalui peguamnya, diberikan salinan dokumen-dokumen relevan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum permulaan prosiding inkues.
Mahkamah Koroner juga membenarkan permohonan para peguam yang mewakili lima remaja bawah umur yang berdepan pertuduhan berkait Zara di Mahkamah Kanak-Kanak, untuk diterima sebagai ‘pihak berkepentingan’ dalam inkues.
Sebelum ini, Azreena menetapkan pendengaran inkues kematian Zara pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September depan.
Pendengaran prosiding inkues akan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang akan bersidang sebagai koroner.