HomeUtamaHajiji yakin GRS akan mendapat mandat baharu daripada rakyat 

Hajiji yakin GRS akan mendapat mandat baharu daripada rakyat 

Read Time:2 Minute, 3 Second

Tambunan: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diberikan mandat baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, berikutan sentimen yang kuat untuk parti tempatan menerajui Kerajaan Negeri. 

Beliau yang juga  Pengerusi GRS berkata, Kerajaan pimpinan GRS pada masa ini terdiri daripada lapan parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanahairku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat, Sabah Progressive Party (SAPP), Parti Harapan Sabah, United Sabah National Organisation (Usno), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS). 

“Lapan parti tempatan ini adalah harapan kita dalam PRN akan datang. Kita tidak boleh sia-siakan peluang keemasan ini kerana sentimen rakyat sangat kuat untuk parti tempatan memimpin politik Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, di sini pada Khamis.

Hajiji mahu rakyat bersatu dan inilah masa terbaik untuk memastikan GRS menang dengan cemerlang dalam PRN.

“Pemimpin GRS di Tambunan mesti menang, dan kita ada pemimpin yang baik di sini, iaitu Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan,” katanya. 

Sementara itu, Hajiji berkata, sepanjang lima tahun yang lalu, Kerajaan Negeri GRS di bawah kepimpinannya telah membuktikan rekod pencapaian membawa pembangunan kepada negeri dan rakyat. 

“Kita telah mencapai banyak kejayaan dan berjaya membangunkan semula ekonomi negeri berasaskan tiga teras ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan. 

“Dalam sektor pertanian, kita telah menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah dengan matlamat untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan negeri kepada 60 peratus menjelang 2030,” katanya. 

Dalam sektor perindustrian pula, katanya, dasar mesra pelabur kerajaan negeri telah berjaya menarik ramai pelabur berimpak tinggi, termasuk pelabur dari Singapura yang membawa masuk pelaburan bernilai RM31 bilion melalui tiga fasa. 

“Ini bukan sahaja dapat menjana ekonomi negeri, malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan,” katanya. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan banyak inisiatif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, termasuk bantuan bulanan RM300 kepada kira-kira 100,000 golongan miskin dan miskin tegar di Sabah selama setahun. 

“Dari segi bantuan kebajikan, kita telah membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion untuk membantu 70,000 penerima, manakala dalam pendidikan, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan.

“Saya ingin bertanya kepada Shafie Apdal, apa yang beliau telah lakukan sepanjang dua setengah tahun menjadi Ketua Menteri dan juga ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar selama hampir tujuh tahun?” soalnya. 

Oleh sebab itu, Hajiji berkata rakyat tidak boleh membuat pilihan yang salah dalam PRN akan datang. – Chronivo

RELATED ARTICLES
EkonomiEnglishUtama

B.Grimm Aims To Support Sabah With Greener And Cleaner Energy

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular