HomeUtamaBunuh Rakan Sekelas: Pelajar Kolej Vokasional dipenjara seumur hidup, 12 lagi rakan...

Bunuh Rakan Sekelas: Pelajar Kolej Vokasional dipenjara seumur hidup, 12 lagi rakan asrama turut dihukum

Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu selepas didapati bersalah membunuh rakan asramanya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dalam kejadian pada Mac 2024.

Tertuduh yang kini berusia 20 tahun turut dikenakan hukuman 12 sebatan serta penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkapan.

Sementara itu, 12 lagi tertuduh yang bersama-sama didapati bersalah atas pertuduhan sama, masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman itu berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas meneliti laporan penilaian akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta mengambil kira faktor umur semua tertuduh yang masih remaja semasa kejadian.

Kesemua 13 tertuduh berusia antara 16 hingga 19 tahun, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding 22 Ogos lalu, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.

Dalam kejadian 21 Mac 2024 itu, mangsa ditemui mati di asrama kolej berkenaan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, antara jam 9 malam hingga 7.38 pagi keesokan harinya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif bersama Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri, manakala tertuduh diwakili barisan peguam termasuk Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, Chen Wen Jye, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular