HomeUtama572 penduduk terima geran tanah, Beaufort City Mall jadi mercu pembangunan baharu

572 penduduk terima geran tanah, Beaufort City Mall jadi mercu pembangunan baharu

Read Time:2 Minute, 15 Second

Beaufort: Seramai 572 penduduk dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan DUN Lumadan menerima geran tanah melibatkan kawasan lebih 1,500 ekar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, penyerahan geran ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh hak pemilikan tanah rakyat di peringkat akar umbi.

“Dengan pemilikan tersebut, rakyat bukan sahaja berpeluang memajukan dan mengusahakan tanah mereka untuk kegiatan ekonomi, tetapi juga memastikan aset berharga itu dapat diwarisi generasi akan datang.

“Pemilikan tanah ini memberi jaminan masa depan kepada rakyat sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi daerah dan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah, Majlis Pelancaran Pelan Strategik Daerah Beaufort 2025 – 2035 dan Majlis Pecah Tanah Beaufort City Mall bagi mewakili Ketua Menteri di sini pada Rabu.

Terdahulu, ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri berhubung Pelan Strategik Pembangunan Daerah Beaufort 2025-2035 Hajiji berkata, pelan inklusif yang diterajui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan semua agensi yang terlibat bakal menjadi panduan utama perancangan pembangunan di Daerah Beaufort untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Dengan pembangunan pesat dan lokasi yang strategik, Daerah Beaufort berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pertumbuhan dan perkhidmatan pedalaman, berfungsi sebagai pusat pentadbiran serta pusat perniagaan utama yang dilengkapi kemudahan dan fasiliti berkualiti tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan penduduk ke Kota Kinabalu bagi urusan pentadbiran,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menyifatkan pembangunan Beaufort City Mall dengan empat fasa merupakan satu langkah yang amat besar, bukan sahaja bagi pembangunan fizikal, tetapi juga bagi memperkukuhkan ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Beliau percaya, Beaufort City Mall akan menjadi pusat komersial yang menawarkan ruang perniagaan, pusat hiburan serta kemudahan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dari aspek ekonomi dan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

Ruslan yang diiringi Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih, Pengerusi IDS Datuk Seri Azizah Mohd Dun, Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun turut menyerahkan replika kunci Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada 10 penerima.

Dalam majlis berasingan, Ruslan bersama-sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Beaufort City Mall di tapak seluas 27 ekar dengan dua fasa bernilai melebihi RM230 juta dan mensasarkan projek itu siap sepenuhnya sebelum tahun 2030.

“Ini merupakan satu lagi mercu pembangunan yang ada di daerah Beaufort yang akan menambahkan peningkatan ekonomi. Dengan kos melebihi RM230 juta dengan dua fasa, fasa pertama pembinaan kedai dan kedua shopping mall. Fasa pertama akan siap dalam tahun 2027 dan keseluruhan projek akan siap sebelum tahun 2030.

“Sekurang-kurangnya, penduduk kita tidak perlu datang ke Kota Kinabalu untuk berbelanja. Ini akan menjadi tarikan kepada masyarakat, mungkin dari Sarawak dan Brunei Darussalam,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular