Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Muzik bukan sekadar hiburan. Di Penjara Pusat Kota Kinabalu, ia menjadi alat pemulihan dan pembangunan insan melalui Program ‘Street Musician Stroller – Australian Diploma in Performing Arts & Buskerthon: Rhythm of Freedom’.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata usaha ini selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai belas ihsan, keadilan sosial, dan kebersamaan dalam membina sebuah negara yang inklusif dan berperikemanusiaan.
“Apabila kita membantu seorang insan kembali ke pangkuan masyarakat, sebenarnya kita sedang menyelamatkan sebuah keluarga, mengukuhkan sebuah komuniti, dan memperteguh sebuah negara. Inilah makna sebenar pembangunan insan yang kita perjuangkan,” katanya semasa majlis perasmian program di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu hari ini.
Program yang dijayakan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Music Hive ini menawarkan latihan intensif selama setahun kepada banduan bukan tegar, termasuk peluang untuk menduduki peperiksaan vokasional bertaraf antarabangsa dalam bidang seni persembahan. Peserta yang berjaya menamatkan program akan menerima Australian Diploma in Performing Arts dan sebuah gitar model P. Ramlee Ultrathin, sebagai simbol pengiktirafan dan harapan baharu.
Latihan ini membolehkan peserta membina kemahiran yang boleh digunakan selepas menamatkan hukuman, sekali gus memberi peluang mereka kembali ke masyarakat dengan kompetensi dan jati diri yang lebih kukuh.
“Majlis ini bukan sekadar pelancaran sebuah program seni, malah ia melambangkan hasrat kita untuk mengiktiraf bahawa setiap insan memiliki ruang untuk memperkukuh jati diri dan kompetensi, demi membina masa depan yang lebih bermakna serta memberi sumbangan kepada masyarakat,” tambahnya.
Menurut Sabin, seni muzik bukan sahaja hiburan, tetapi medium pemulihan, terapi emosi, dan pembinaan semula jati diri.
“Seni muzik mendidik kita untuk berdisiplin, berani mengekspresikan diri, dan belajar bekerjasama dalam harmoni. Latihan ini bukan bersifat asas semata-mata, sebaliknya memberi peluang kepada mereka menduduki peperiksaan vokasional bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Tey Hock Soon berkata Program ‘Street Musician Stroller – Australian Diploma in Performing Arts’, sebuah kesinambungan kepada inisiatif ‘Rhythm of Freedom’ yang telah memberi impak besar kepada komuniti prospek dan bekas prospek di seluruh Malaysia sejak tahun 2019.
Menurutnya, peluang persijilan ini mula diterokai di Sekolah Henry Gurney Teluk Mas Melaka dan Sekolah Integriti Kota Kinabalu di mana ianya memberikan impak positif terhadap bakat prospek yang boleh diangkat ke arah kerjaya dalam bidang muzik.
Beliau menambah, persijilan pada tahun 2025 diberikan kepada 20 prospek dewasa Penjara Pusat Kota Kinabalu, melibatkan 740 jam kredit sebelum prospek dibebaskan sepenuhnya. Latihan dijalankan di fasiliti penjara oleh tenaga pengajar Distinctone Sdn Bhd (Music Hive), yang turut menyediakan semua peralatan sehingga program selesai.
“Jabatan Penjara Malaysia menitikberatkan kelangsungan hidup prospek ini. Dengan adanya persijilan, prospek diharapkan dapat meneruskan kehidupan di luar penjara melalui bimbingan tenaga pengajar Distinctone Sdn Bhd (Music Hive) serta peluang yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengusahakan karya seni sekitar Kota Kinabalu, termasuk tarikan pelancong.
“Program ini juga memastikan prospek mendapat peluang kedua dan jauh dari kancah jenayah,” katanya.
Turut hadir Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu Penolong Kanan Komisioner, Hamdan Salleh Majin; Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu Penolong Komisioner Penjara, Noor Sazlawati Zakaria, dan Pengarah Eksekutif, Distinctone Sdn Bhd (Music Hive) Datuk Dr Peter Chua.