HomeUtamaLiterasi digital amanah baharu ibu bapa – Juliah

Literasi digital amanah baharu ibu bapa – Juliah

Read Time:1 Minute, 51 Second

Membakut: Literasi digital kini menjadi amanah baharu ibu bapa dalam mendidik anak-anak agar bijak dan selamat menelusuri dunia maya seiring dengan perkembangan teknologi.

Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat-Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS), Datin Seri Juliah Salag berkata pelaksanaan Program Santuni Kasih: Keibubapaan Digital berupaya memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ibu bapa melalui Modul KASIH Keibubapaan Digital.

Program itu dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah dengan kerjasama MUTIARA-GRS dan Pejabat Daerah Membakut,

“Keibubapaan digital bukan lagi pilihan, tetapi amanah. Dalam era internet yang kini meliputi lebih 94 peratus kawasan berpenduduk di Sabah, pemantauan gajet anak-anak perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program itu di Dewan Kesenian Membakut, di sini pada Selasa.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Juliah berkata, modul berkenaan melibatkan ilmu keselamatan siber, literasi media dan kemahiran kawalan peranti dengan sokongan agensi seperti SKMM, bagi membendung ancaman buli siber, penipuan kewangan, ‘grooming’ dan kandungan tidak bermoral.

“Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan lebih 51,000 kandungan berbahaya dalam talian dikesan hanya dalam suku pertama 2024. Justeru, literasi digital mesti berjalan seiring dengan literasi moral dan emosi di rumah, sekolah dan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Juliah berkata, kempen Women’s Cancer Reproductive Care (WCaRe) yang turut dilancarkan pada majlis sama meluaskan akses kepada saringan mamogram, ujian HPV DNA dan pendidikan kesihatan reproduktif wanita luar bandar.

Katanya, lebih 79,000 wanita di seluruh negara mendapat manfaat WCaRe pada tahun lalu, termasuk hampir 9,000 wanita Sabah, dan tahun ini lebih ramai di sasar untuk dibantu terutama di pedalaman.

Juliah turut menggariskan tiga harapan utama hasil program tersebut iaitu menetapkan peraturan skrin keluarga, mengaktifkan kawalan ibu bapa pada peranti anak-anak serta mengadakan semakan mingguan antara ibu bapa dan anak-anak.

“Kedua, wanita yang hadir digalakkan menempah slot saringan kesihatan seperti HPV DNA atau Mamogram, selain berkongsi ilmu diperoleh bersama jiran dan rakan terdekat.

“Ketiga, komuniti setempat termasuk persatuan dan organisasi akar umbi diharapkan menjadi rakan rujukan awal bagi isu keselamatan siber serta kesihatan wanita,” katanya.

Seramai 100 peserta menyertai program berkenaan yang mengangkat tema keluarga celik digital dan wanita celik saringan sebagai teras kesejahteraan masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular