HomePendapatKerajaan Wajar Semak Kadar Pendapatan Garis Kemiskinan

Kerajaan Wajar Semak Kadar Pendapatan Garis Kemiskinan

Read Time:3 Minute, 3 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia wajar segera meneliti dan menyemak kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi memperkasa agenda pembasmian kemiskinan negara supaya lebih relevan dengan cabaran kos sara hidup semasa.

Secara umum, kemiskinan di negara ini terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Miskin Mutlak dan Miskin Tegar.

Kategori KemiskinanDefinisiKadar Nasional (2022)
Miskin Mutlak atau Absolute PovertyPendapatan isi rumah di bawah PGKPGK = RM 2,589
Miskin Tegar atau Hardcore PovertyPendapatan isi rumah di bawah PGK MakananPGK Makanan = RM 1,198

Miskin Mutlak merujuk kepada isi rumah yang tidak mampu menampung keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian.

Miskin Tegar pula ialah isi rumah yang tidak mampu membeli barangan makanan optimum bagi kesihatan dan kesejahteraan hidup.

Kerajaan telah menetapkan kadar PGK nasional bagi kategori miskin mutlak pada paras RM2,589 sebulan, manakala PGK makanan bagi miskin tegar ialah RM1,198.

Namun, kadar ini berbeza mengikut negeri. Sebagai contoh, PGK makanan tertinggi ialah di Terengganu (RM1,367) dan terendah di Pulau Pinang (RM1,036), sementara Sabah (RM1,218) dan Sarawak (RM1,298) mencatat paras yang lebih tinggi daripada purata nasional.

Tahun201220162018202020222025
Kadar Gaji MinimumRM 900RM 1,000RM 1,100RM 1,200RM 1,500RM 1,700
Jumlah PeningkatanRM 100RM 100RM 100RM 300RM 200
Peratus Peningkatan11 %10 %9 %25 %13 %

Keperluan Semakan Terkini

Dalam tempoh tiga tahun antara 2019 hingga 2022, PGK nasional meningkat sebanyak 17 peratus, daripada RM2,208 kepada RM2,589. Namun, sejak 2022, tiada semakan baharu dibuat meskipun kos sara hidup terus meningkat.

Panduan Belanjawan  2024/2025 turut menetapkan konsep Gaji Kehidupan Wajar sekitar RM3,100 sebulan — jauh lebih tinggi berbanding kadar PGK semasa. Di samping itu, gaji minimum negara yang kini pada paras RM1,700, walaupun meningkat hampir 90 peratus sejak diperkenalkan pada 2012, masih belum mampu menampung peningkatan kos barangan asas.

Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2024 menunjukkan harga makanan melonjak 17.4 peratus dalam tempoh lima tahun, lebih dua kali ganda daripada kadar kenaikan gaji pekerja (7 peratus).

“Dalam bahasa mudah, gaji rakyat tidak naik seiring dengan harga makanan dan barangan keperluan. Keadaan ini paling menekan golongan B40 yang membelanjakan lebih separuh daripada pendapatan mereka untuk keperluan asas,” menurut laporan itu.

Implikasi Kepada Dasar Kerajaan

Banyak inisiatif kerajaan menggunakan PGK sebagai syarat kelayakan, antaranya Rancangan Makanan Tambahan (RMT) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Program yang diperuntukkan sebanyak RM870 juta pada 2025 ini hanya membabitkan keluarga berpendapatan bawah PGK makanan nasional (RM1,198).

Sekiranya kadar PGK tidak dikemas kini, terdapat kemungkinan ramai rakyat tercicir daripada menerima manfaat, meskipun kehidupan mereka nyata terhimpit.

Laporan Kemiskinan Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan insiden miskin mutlak menurun ketara daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada hanya 6.2 peratus pada 2022. Malah, Kementerian Ekonomi memaklumkan pada Februari lalu bahawa beberapa negeri termasuk Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis telah mencatat sifar miskin tegar sehingga akhir 2024.

Namun, pencapaian ini berisiko menjadi “kejayaan di atas kertas” jika tidak diselaraskan dengan realiti semasa.

Cabaran dan Jalan Ke Hadapan

Sekiranya semakan kadar PGK dibuat, lebih ramai rakyat berkemungkinan tergolong dalam kategori miskin mutlak dan miskin tegar. Walaupun hal ini boleh mencemarkan imej pencapaian semasa serta meningkatkan beban kewangan kerajaan, ia akan memastikan tiada golongan terpinggir daripada menerima bantuan sewajarnya.

Satu lagi aspek penting dalam laporan DOSM ialah purata saiz isi rumah miskin mutlak, iaitu 5.3 orang — jauh lebih besar berbanding purata isi rumah negara (3.8 orang). Keadaan ini menuntut perhatian dasar yang lebih mendalam.

Secara keseluruhannya, semakan kadar PGK dan PGK makanan adalah langkah penting untuk memastikan data kemiskinan negara benar-benar mencerminkan realiti rakyat. Ia bukan sekadar soal angka, tetapi tentang memastikan setiap isi rumah mendapat peluang untuk hidup dengan bermaruah dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular