Putrajaya: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Brunei Darussalam sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) Ke-26, yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Rabu.
Majlis itu disaksikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertukaran MoU itu membabitkan bidang kesihatan antara kedua-dua negara.
Hajiji yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong turut menghadiri Majlis Makan Tengah Hari yang dihoskan oleh Anwar.
ALC merupakan platform rundingan dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang berperanan menilai kemajuan kerjasama sedia ada, menyelesaikan isu berbangkit, selain membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama termasuk perkembangan serantau dan antarabangsa.