HomeUtamaProgram Kanyon Imbak semai cinta alam dalam generasi muda

Program Kanyon Imbak semai cinta alam dalam generasi muda

Read Time:1 Minute, 22 Second

Tongod : Usaha menyemai kesedaran generasi muda terhadap pemuliharaan khazanah alam sekitar terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Orientasi Alam dan Ilmu Kanyon Imbak di sini baru-baru ini.

Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang terkenal sebagai benteng biodiversiti dan zon perlindungan semula jadi, bukan sahaja menjadi destinasi ekopelancongan, malah berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan berasaskan alam sekitar.

Program itu dirasmikan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar yang diwakili Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar, Dr. Waidi Sinun.

Ketika berucap, Dr. Waidi berkata, pendedahan awal seperti itu penting dalam membentuk sahsiah pelajar agar lebih peka dan bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“Pendidikan alam tidak hanya menjana ilmu, tetapi turut membentuk nilai dan sikap generasi muda supaya menjadi lebih prihatin terhadap kelestarian alam.

“Inilah asas kepada kesinambungan usaha memelihara warisan semula jadi kita,” katanya.

Seramai 60 peserta yang terdiri daripada pegawai pendidikan, pelajar serta guru daripada pelbagai sekolah di Tongod, Beluran, Penangah, Telupid dan Ranau menyertai program tersebut.

Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Tongod, SMK Beluran, SMK Penangah, SK Imbak, SK Pekan Tongod, SK Keramuak, SMK Telupid, SMK Entilibon, SMK Timbua Ranau dan SK Penangah.

Program ini bukan sahaja membuka peluang interaksi antara sekolah dengan agensi, malah dijangka mewujudkan kerjasama jangka panjang melalui aktiviti konservasi, modul pembelajaran bersama serta projek komuniti berasaskan alam sekitar.

Kumpulan Yayasan Sabah dalam satu kenyataan menegaskan komitmen untuk terus menyemarakkan semangat cinta terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

“Kanyon Imbak bukan sekadar simbol kekayaan ekologi Sabah, malah menjadi harapan bahawa dengan kesedaran, kerjasama dan komitmen bersama, warisan alam ini akan terus terpelihara untuk generasi akan datang,” menurut kenyataan itu di sini.- Chronivo / FOTO KYS

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular