Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar 6 kilogram (kg) dadah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Maniyalagu A/L Rahuvel, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Alexander Siew How Wai.
Mengikut kertas pertuduhan, Maniyalagu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine sebanyak 6,503.9 gram pada 14 Mei lalu, sekitar jam 8.38 malam, di Balai Ketibaan Dalam Negeri, Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan 25 September sebagai tarikh pengurusan kes pra perbicaraan.
Tidak ada jaminan dibenarkan, dan tertuduh yang berasala dari Johor akan terus ditahan sehingga kes selesai.
Semasa prosiding berlangsung, tertuduh tidak diwakili peguam, manakala Timbalan Pendakwa Raya Afiq Agoes mengendalikan pendakwaan.