Tambunan: Penganjuran Konsert Malam Harmoni Tambunan 2025 yang julung kali diadakan di daerah ini berjaya membawa mesej perpaduan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan.
Konsert itu turut disertai barisan artis yang membawakan lagu-lagu bertemakan ketenangan dan keharmonian selain menjadi ruang untuk menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat majmuk Sabah.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, sebanyak empat ibrah atau pengajaran penting menjadi antara pengisian kepada penganjuran konsert itu.
“Yang pertama, jangan sekali-kali rosakkan perpaduan dengan fitnah kerana ia adalah umpama api yang kecil, jika dibiarkan dia boleh membakar sebuah kampung.
“Selain itu, kita perlu mengekalkan keharmonian tanpa mengira bangsa dan anutan agama. kita semua diciptakan berbeza warna, bahasa, bangsa dan budaya adalah untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain, bukan untuk saling bermusuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konsert Malam Harmoni 2025 daerah Tambunan di sini baru-baru ini.

Jumain berkata, program itu juga membawa masyarakat untuk sentiasa bertabayyun dimana berita dan maklumat datang begitu cepat pada masa ini.
“Namun tidak semua yang kita dengar dan baca itu benar. Makanya tabayyun iaitu menyelidik, mengkaji, dan memastikan kesahihan adalah kunci untuk mengelakkan salah faham dan perpecahan.
“Selain itu, kita juga perlu meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempatnya dimana jika sesuatu perkara bukan dalam bidang atau kepakaran kita, serahkanlah kepada yang lebih mahir dan pakar.
“Jangan kita memandai-mandai, kerana tindakan sebegini hanya akan membawa mudarat. Umpama sakit, kita jumpa doktor soal hukum, kita rujuk ulama. Soal teknikal, kita serah pada jurutera. Inilah kunci keadilan dan kesejahteraan dalam masyarakat,” katanya.