HomeUtamaCadangan pusingan U baharu di Tebobon kurangkan kesesakan – JKR Sabah

Cadangan pusingan U baharu di Tebobon kurangkan kesesakan – JKR Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

Sepanggar : Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang meneliti cadangan pembinaan satu pusingan U (U-turn) tambahan di Jalan Berungis-Tebobon bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kerap membelenggu pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Timbalan Pengarah JKR Sabah, Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Dato’ Ir. Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid berkata, cadangan itu dikemukakan oleh penduduk setempat dan dilihat mampu memendekkan jarak pusingan U yang kini terletak agak jauh di kawasan Bandar Sierra.

“Cadangan ini merupakan langkah jangka pendek yang baik dan sedang diperhalusi. Jika dilaksanakan, ia akan memudahkan penduduk Kampung Tebobon membuat pusingan U tanpa perlu menghala jauh ke Bandar Sierra.

“Pusingan U baharu yang dicadang akan dibuat berhadapan bangunan Telekom Malaysia (TM), kita jangka pelaksanaannya dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan hingga enam minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat pengurusan trafik Projek Lebuhraya Pan Borneo WP07 dan WP08 bersama pemimpin setempat di Pejabat Tapak WP08 Bandar Sierra, di sini pada Isnin.

Shamsul berkata, bagi langkah jangka panjang, kerja utama lebuh raya sedang dipercepatkan dengan laluan utama WP07 dijangka siap menjelang hujung tahun ini, manakala WP08 pada 2026.

Tambahan skop pembinaan mini flyover (laluan bertingkat) di Tuaran pula katanya dijadual siap pada tahun sama.

“November ini, laluan Tobobon sehingga persimpangan Norowot yang mempunyai flyover akan dibuka sepenuhnya. Ini akan memberi impak besar terhadap pengurangan kesesakan kerana pengguna tidak lagi perlu membuat pusingan U jauh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, menyambut baik penjelasan JKR dan menzahirkan penghargaan terhadap usaha yang dilaksanakan.

“Kami diberi jaminan masalah ini akan diselesaikan dalam masa terdekat. Bagi jangka panjang, rakyat perlu bersabar sehingga projek siap sepenuhnya. Apa yang penting, JKR sentiasa mendengar suara penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris pula berkata, penjelasan itu akan dibawa ke akar umbi untuk memastikan penduduk faham perkembangan sebenar projek.

“Sekurang-kurangnya pada hari ini, kami diberi penerangan jelas tentang status Pan Borneo di kawasan Karambunai, dan maklumat ini akan kami sampaikan kepada masyarakat di kawasan,” katanya. – Chronivo.

RELATED ARTICLES
Utama

RON95 diturunkan kepada RM1.99 di bawah program BUDI95

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular