Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Konvensyen hal ehwal agama Islam disifatkan sebagai wadah terbaik untuk menilai kelemahan dan memperbaiki kekurangan, termasuk usaha membendung budaya buli di sekolah serta institusi pendidikan lain.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, budaya buli yang kian menular, malah turut berlaku di sekolah agama, amat mengecewakan dan perlu dipandang serius.
“Saya secara peribadi amat sedih dengan apa yang berlaku. Apa yang lebih mengecewakan ialah budaya buli berlaku di sekolah agama, sebuah institusi yang berlambangkan kesucian Islam. Mengapa ini boleh terjadi, dan di manakah salah serta silapnya?” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau percaya konvensyen itu adalah wadah terbaik untuk bermuhasabah dan menilai kelemahan, memperbaiki kekurangan bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam semua organisasi sama ada milik kerajaan atau persendirian.
Hajiji berkata, sebagai warganegara dalam sebuah negara berbilang kaum, umat Islam tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan isu-isu berkaitan agama mereka, khususnya di media sosial.
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap penularan propaganda palsu termasuk berita palsu dan fitnah, iaitu taktik jahat kumpulan anti-kerajaan yang bertujuan menjatuhkan maruah atau membinasakan reputasi pemimpin tertentu menjelang pilihan raya negeri.
“Selain isu politik, terdapat juga perkara lain yang turut disensasikan, antaranya berkaitan ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar serta isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja), malah institusi Yang di-Pertua Negeri juga turut diperlekeh.
“Turut tidak terkecuali ialah insiden tragis yang melibatkan pendidikan dan isu budaya buli dalam kalangan murid sekolah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, yang disensasikan oleh segelintir netizen tidak bertanggungjawab sehingga ada yang sanggup berbohong, menyebarkan berita palsu dan memfitnah individu tertentu,” katanya.
Beliau berkata, letusan pesat teknologi maklumat pada abad ini telah membuka dunia tanpa sempadan, mengecilkan dunia menjadi sebuah Perkampungan Sejagat, di mana segala-galanya berada di hujung jari.
Cabaran, katanya, menjadi lebih besar dengan wujudnya aplikasi canggih dikenali sebagai kecerdasan buatan (AI), yang direka untuk membantu memudahkan tugasan dan kerja dalam era moden.
“Namun, di sebalik manfaat dan kemudahan teknologi canggih ini, ia juga boleh mendatangkan ancaman dan cabaran serius kepada kita, khususnya umat Islam, jika disalah guna atau dijadikan senjata untuk menghasilkan infografik, audio atau video palsu dengan niat menggugat kestabilan umat Islam di seluruh dunia.
“Penyalahgunaan aplikasi ini adalah cabaran utama yang kita hadapi pada abad ini. Harus diingat bahawa dunia digital, termasuk teknologi internet, sentiasa berkembang dengan pesat. Setiap hari, ciptaan baharu dihasilkan oleh para saintis dan pengatur cara, sehingga pengguna seperti kita yang sudah mencapai status veteran ini sering sukar untuk mengikuti perkembangannya. Kebimbangan sebenar adalah terhadap generasi muda dan pewaris masa depan tanah air yang kita cintai,” katanya.
Hajiji berkata, hakikatnya teknologi canggih akan terus menguasai kehidupan manusia apabila negara-negara maju berlumba-lumba mencipta gajet dan pelbagai lagi bukan sahaja untuk menguasai pasaran global tetapi juga mempengaruhi serta menguasai minda dan pemikiran manusia.
Sehubungan itu, katanya, di sinilah peranan ibu bapa, pendidik, pendakwah, pemimpin organisasi dan tokoh masyarakat sebagai pembimbing serta benteng generasi kita.