LAHAD DATU: Polis mengesahkan sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb berjaya dimusnahkan selepas ditemui di tebing Sungai Segama, Kampung Batu 8, Lahad Datu pada 24 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, penemuan tersebut dibuat hasil makluman orang awam sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan ia adalah bom lama yang masih aktif.
“Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dengan dibantu UPB IPD Lahad Datu serta UPB dari daerah lain telah melaksanakan operasi pemusnahan pada jam 11.33 pagi tadi.
“Kaedah Low Order menggunakan sistem elektrik dan bahan letupan khas digunakan bagi memastikan pemusnahan berjalan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi itu melibatkan seramai empat pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat.
Proses pemusnahan dilaporkan berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda.